Carian
Sarawak Akan Membina Ladang Solar Terapung Terbesar Dunia
November 6, 2024 • Effi Saharudin

Empangan Murum di Kapit Sarawak bakal menjadi ladang solar terapung terbesar dunia. Pihak Masdar Abu Dhabi, Sarawak Energy dan Gentari telah menandatangani persetujuan bersama untuk melakukan kajian kebolehlaksanaan bertujuan untuk menilai potensi pemasangan solar terapung berskala besar di empangan Murum hari ini.

Projek dijangka mampu menjalan kuasa sehingga 1GW secara lestari dan pada waktu yang sama meningkatkan kemampuan Sarawak 10GW tenaga elektrik menjelang 2030. Rekod ladang solar terapung dunia terletak di Dezhou China dengan kapasiti 320MW.

Penilaian akan merangkumi kebolehan teknikal, impak ke atas alam sekitar dan kemampuan ekonomi untuk menentukan sama ada projek itu boleh dilaksanakan dengan jayanya.

Sekiranya dilihat boleh dilakukan, ladang solar terapung ini dapat mengukuhkan kapasiti tenaga lestari Sarawak dan menjadikannya model perintis untuk projek solar terapung di seluruh rantau Asia Tenggara. Ia juga menyokong cita-cita Sarawak untuk menjadi peneraju dalam pembangunan tenaga bersih dan eksport di Asia Tenggara serta sasaran Malaysia menjana 31% tenaga secara lestari menjelang 2025.

Selain empangan Murum, kerajaan Sarawak pada Jun lalu turut berminat membina ladang solar terapung di empangan Bakun. Sarawak sudahpun mempunyai ladang solar terapung seluas 190 hektar di empangan Batang Ai yang mampu menjana 50MW tenaga elektrik. Selain di Sarawak, ladang solar terapung sudahpun dibina di empangan Kenyir, empangan Chenderoh dan Empangan Temenggor .

Komen