Sistem sekuriti iPhone mendapat perhatian dunia selepas serangan pengganas di San Bernadino pada tahun 2016. Apple enggan memberikan bantuan kepada FBI untuk menyahkunci iPhone 5C milik suspek kerana risau ia akan melanggar hak privasi pengguna. Tetapi sistem iOS akhirnya berjaya juga dipintas oleh firma Cellebrite yang berasal dari Israel. Tetapi menurut laporan 404 Media, proses menembusi sistem sekuriti iPhone kini kembali sukar sekiranya ia menggunakan iOS 18.
Sebuah nota yang disebarkan di kalang pihak berkuasa Amerika Syarikat memberikan amaran supaya peranti dengan iOS 18 yang ingin disiasat perlu dipisahkan daripada peranti lain dengan sistem operasi yang sama. Pihak berkuasa mempunyai hipotesis apabila mengesan peranti iOS 18 berdekatan yang tidak bersambung kepada rangkaian selular, ia akan memberikan arahan untuk ia melakukan proses dihidupkan semula (reboot).
Apabila ini berlaku, iPhone akan memasuki mod Before First Unlock (BFU) yang memerlukan pemilik memasukkan kata laluan atau menggunakan Face ID sebelum ia memasuki mod After First Unlock (AFU). Peranti dalam mod AFU diperlukan bagi memudahkan sistem memintas sekuriti seperti Celebrite boleh digunakan bagi menyahkunci dan kemudiannya membaca kandungan telefon yang sedang disiasat sebagai bahan bukti oleh pihak polis misalnya.
Arahan untuk melakukan reboot ini akan diberikan sekali setiap 24 jam oleh peranti iOS 18 berdekatan. Ia tidak mendatangkan kesan pada iPhone yang menggunakan sistem operasi terdahulu. Dalam laporan yang sama, peranti yang diletakkan di dalam kandang Faraday juga tidak kebal daripada sistem yang baharu ini.
Apple secara rasmi tidak pernah mengumumkan kewujudan sistem keselamatan ini dan masih belum mengeluarkan komen mengenainya pada ketika ini.