Butang Kuasa Apple Mac Mini Terletak Di Bawah Kerana Tidak Ramai Menggunakannya
Fahim Zahar
Mac Mini dengan cip M4 adalah komputer kompak paling berkuasa dengan harga paling mampu milik pernah diperkenalkan pada tahun ini. Namun atas rekaannya yang terlampau kecil, beberapa perubahan rekaan perlu dilakukan seperti yang menjadi kontroversi adalah butang kuasa berada di bawah. Dua wakil Apple telah menjelaskan kenapa butang kuasa ini diletakkan di posisi yang aneh.

Dalam satu temuramah bersama saluran bilibili Mediastorm dari China, eksekutif Apple Greg Joswiak dan John Ternus mengatakan butang kuasa perlu berada di tempat yang optimum untuk memudahkan ia ditekan oleh pemilik. Mereka turut menyatakan butang kuasa adalah jarang sekali digunakan oleh pemilik Mac.

Butang kuasa di bahagian bawah Mac Mini ini mungkin hanya akan menjengkelkan pengguna yang kerap mematikan peranti selepas digunakan. macOS adalah sistem operasi yang efisien dan masih boleh berjalan dengan lancar walaupun tidak dimatikan. Jika anda risau akan kedudukan butang ini, beberapa rekaan aksesori butang untuk cetakan 3D telah pun dikeluarkan. Jika anda berminat dengan Mac Mini M4, ia dijual di Malaysia pada harga bermula RM2,499.
[sumber] ITHome [/sumber]