Pertama Digital Menyepadukan Proses Log Masuk Aplikasi Mereka Menggunakan MyDigital ID
Nazrin
Pertama Digital ialah sebuah syarikat penyedia penyelesaian digital tempatan yang telah membina beberapa aplikasi yang digunakan secara meluas, seperti eJamin, MyPay dan Kocek. Dalam satu kenyataan yang baru dikeluarkan, Pertama Digital nampaknya telah menyepadukan proses log masuk aplikasi mereka dengan menggunakan sistem log masuk MyDigital ID.
Penyepaduan strategik ini dilihat sebagai cara untuk mewujudkan ekosistem teknologi digital yang lebih selamat, mudah diakses dan berkesan bagi rakyat Malaysia. Ia juga dilihat sebagai satu cara untuk mengukuhkan komitmen Pertama Digital dalam menyokong usaha transformasi digital kerajaan Malaysia.

“Kerjasama dengan kerajaan akan mempertingkatkan lagi tahap keselamatan digital dan memudahkan rakyat Malaysia untuk menggunakan perkhidmatan asas, memperkasakan cara melayari kehidupan digital dengan yakin” kata Pengarah Eksekutif Kumpulan Pertama Digital Sabri Ab Rahman.
Pertama Digital juga dilaporkan merancang untuk menambah produk yang ditawarkan yang akan merentasi lebih banyak lagi sektor-sektor yang sudah dimasuki mereka, seperti perkhidmatan kewangan, teknologi undang-undang dan penyelesaian digital.
[sumber]Bernama[/sumber]