Siri Vivo X200 Memasuki Pasaran Malaysia Pada 19 November 2024
Amy Maizuraa
Vivo bersedia untuk melancarkan telefon pintar mercu baharunya X200 di Malaysia pada 19 November 2024. Model ini dilihat bukan sahaja dilengkapi teknologi terkini malah tampil dengan rekaan luaran diperkemas dengan gaya lebih moden dan premium. Selain itu semakan kami melalui laman web rasmi pula menjumpai hanya dua model yang disenaraikan iaitu X200 dan X200 Pro. Sesi pra tempahan turut akan dibuka pada hari yang sama dengan hadiah percuma mencapai RM1,787 diberikan bersama.

Spesifikasi penuh kedua-dua peranti turut disenaraikan melalui laman web berkenaan dengan sebahagian besar perkara yang sama. Misalnya seperti skrin AMOLED 6.78-inci, cip Mediatek Dimensity 9400, memori 16GB RAM, storan dalaman 512GB dan kamera swafoto 32MP. Perbezaan antara kedua-dua telefon ialah kamera utama 50MP (Utama) + 50MP (Sudut lebar) + 200MP (Periskop) dan bateri lebih besar 6,000mAh digunakan pada model X200 Pro. Sementara itu X200 pula dibekalkan dengan kamera 50MP (Utama) + 50MP (Sudut lebar) + 50MP (Periskop) dan bateri 5,800mAh.
Tiada harga jualan didedahkan setakat ini sebaliknya hanya diketahui selepas pelancaran rasminya pada minggu hadapan. Anda turut boleh membaca pandang pertama kami untuk siri X200 yang diterbitkan sebelum ini.