Carian
Google Sedang Menguji “Shielded Email”, Ciri Pelindung Alamat Emel Seakan Apple Hide My Email
November 15, 2024 • Fahim Zahar

Ciri Hide My Email yang ditawarkan dalam Apple iCloud+ adalah antara ciri yang sangat berguna. Ia boleh menyembunyikan alamat emel anda dan menjana alamat emel sementara. Akan datang, Google turut akan menawarkan ciri sama untuk pengguna Android.

Ciri ini dinamakan sebagai Shielded Email dan sedikit butirannya mengenainya telah ditemui dalam kod aplikasi sistem Google Play Services versi 24.45.33. Ciri ini dikatakan akan muncul apabila pengguna membuka aplikasi yang memerlukan pendaftaran akaun atau memasukkan emel. Alamat emel rawak akan dijana dan semua mesej akan dimajukan ke alamat emel sebenar pengguna.

Pengguna turut boleh melakukan pelbagai tetapan akaun melalui laman My Account seperti mematikan memajukan mesej ke emel sebenar dan dikatakan mungkin akan diintegrasikan melalui Google Password Manager. Shielded Email turut dijangka akan menjadi sebahagian ciri berbayar dalam langganan Google One.

Buat masa ini masih tiada sebarang informasi mengenai bila Shielded Email akan diaktifkan. Sama-sama kita nantikan.

Komen