Peranti Mercu Realme Seterusnya Akan Dilancarkan Dengan Kerjasama Syarikat Kamera Terkemuka
Effi Saharudin
Realme GT7 Pro dilancarkan di Malaysia semalam yang juga merupakan peranti Snapdragon 8 Elite pertama di negara kita. Rantau Asia Tenggara menjadi pasaran kedua selepas China menerima peranti mercu gaming ini. Semalam ketika sesi temubual bersama media Asia Tenggara, Sherry Dong yang merupakan ketua pemasaran Realme Asia Tenggara mengesahkan sebuah lagi peranti merdu mereka akan dilancarkan tahun depan dengan kerjasama sebuah syarikat kamera terkemuka.

Beliau enggan mendedahkan nama syarikat kamera tersebut pada waktu ini tetapi mendedahkan peranti ini juga akan menggunakan cip Snapdragon 8 Elite. Ini memberikan bayangan mungkin Realme juga akan menawarkan peranti dengan siri Ultra di masa hadapan. Beberapa tahun lalu kedengaran ura-ura Realme akan bekerjasama dengan Kodak tetapi sehingga kini ia tidak berlaku.
Pada hemat kami kerjasama mungkin dilakukan bersama Hasselblad kerana Realme di bawah payung BBK Electronic. Oppo dan OnePlus yang turut di bawah payung yang sama sudahpun menawarkan peranti dengan sistem kamera Hasselblad sejak 2021.
Menerusi kerjasama dengan syarikat kamera terkemuka, mungkin Realme dapat meningkatkan prestij jenama yang selama ini lebih terkenal sebagai peranti mampu milik dengan prestasi kamera yang tidak setanding jenama lain di pasaran.