Huawei melancarkan generasi baharu jam tangan pintar Watch D2 di Malaysia. Bagi memberi kelainan, Huawei mengetengahkan kebolehan mengambil tekanan darah melalui seutas jam tangan pada pergelangan tangan. Huawei melengkapkan lagi jam tangan dengan tubuh yang seberat 40 gram dan sebanyak 12% lebih nipis berbanding Watch D yang diumumkan pada tahun 2022.
Ini dipadankan dengan skrin AMOLED 1.82-inci dengan kecerahan puncak sehingga 1500nits. Ini menjadikan skrin boleh digunakan dalam pelbagai keadaan pencahayaan, sama ada dalam dan luar bangunan. Ini dipadankan dengan sensor optik yang menggunakan pam mikro terbina di dalam tali yang mirip mesin tekanan darah tradisional. Selain itu menawarkan fungsi Ambulatory Blood Pressure Monitoring (ABPM) yang juga boleh digunakan secara automatik semasa tidur.
Sensor juga boleh digunakan untuk memantau kesihatan lain seperti ECG, SpO2, degupan jantung dan tahap tekanan. Bateri pula boleh mencapai 6 hari dengan penggunaan biasa dan boleh dicas semula melalui port USB-C. Harga jualan rasmi adalah RM1,999 dengan dua pilihan variasi iaitu Black dan Gold. Sebarang pra-tempahan turut diberikan hadiah eksklusif bernilai RM1,276 yang termasuk Huawei FreeBuds Pro 2, Huawei Scale 3, Huawei Watch D2 Straps dan jaminan perlindungan skrin selama setahun.