Shazam Telah Melakukan Sebanyak 100 Bilion Pengecaman Lagu
Fahim Zahar
Pada tahun 2018, Shazam iaitu perkhidmatan popular untuk pengecaman muzik telah diambil alih oleh Apple. Sehingga hari ini pelbagai perkara telah Apple lakukan bagi memastikan Shazam kekal menarik untuk digunakan seperti menyokong carian lagu pada TikTok, atau menyertakan ciri Sejarah seakan Now Playing pada peranti Pixel.

Terbaru, Shazam dengan bangga berkongsi yang mereka kini telah berjaya melakukan sebanyak 100,000,000,000 pengecaman lagu. Menurut Apple, jumlah ini adalah seakan setiap orang di muka bumi mencari 12 lagu. Menurut mereka lagu Dance Monkey oleh Tones and I antara yang paling kerap dikenalpasti iaitu sebanyak 45 juta kali.

Sempena kejayaan ini, Shazam turut melancarkan senarai main Shazam’s Top 100 Songs of All Time di Apple Music. Shazam walaupun dimiliki oleh Apple, aplikasinya masih ditawarkan untuk pengguna Android di Play Store. Untuk pengguna iOS, Shazam turut diintegrasikan secara mendalam sehingga boleh diakses pada Control Center.
[sumber] Apple [/sumber]