Carian
Retrospektif – 10 Permainan Terbaik Sony PlayStation 2
December 3, 2024 Effi Saharudin

Sony PlayStation menyambut ulang tahun ke-30 hari ini sejak ia dilancarkan dengan tema retro di PlayStation 5. Pada waktu yang sama minggu lalu PlayStation 2 telah terjual lebih 160 juta unit sejak dilancarkan dengan ia kini adalah konsol dengan jualan tertinggi dalam sejarah. Disebabkan dua pencapaian bersejarah ini, kami hasilkan senarai 10 permainan terbaik pada PlayStation 2 yang kami rasakan mungkin konsol paling penting dalam sejarah permainan video.

10. Ace Combat 5: The Unsung War

Dalam setiap senarai “terbaik”, penulis dibenarkan memasukkan satu permainan kegemaran peribadi yang mungkin tidak dipersetujui oleh pembaca. Ace Combat 5: The Unsung War ialah pilihan peribadi kami untuk senarai ini kerana ia adalah permainan arked kapal terbang terbaik di PS2. Peningkatan kuasa grafik PS2 membolehkan pasukan Project Aces di Namco meletakkan FMV berkualiti tinggi, awan volumetrik dan poligon lebih tinggi untuk setiap model pesawat pejuang yang boleh dimainkan.

Grafik yang mantap ini dipadankan dengan jalan cerita yang menarik dalam dunia Strangereal. Bermula sebagai kadet pemain perlahan-lahan menjadi wira perang dengan plot yang kami yakin menjadi inspirasi kepada Top Gun Maverick. Kapten Bartlett, Kei Nagase, Chopper dan The Demon of Razgriz sehingga ke hari ini menjadi antara watak yang paling diingati peminat siri Ace Combat.

9.Shadow of the Colossus

Adakah jalan cerita boleh dilakukan menggunakan bahasa buatan yang tidak wujud? Adakah poligon boleh membuatkan anda menitip air mata jantan. Jawapan kami kepada persoalan ini ialah ya sebanyak dua kali. SotC mengubah persepsi kami mengenai permainan aksi. Ia tidak semestinya sekadar membantai butang alat. kawalan sehingga berkecai.

Terdapat ritma dan waktu tepat untuk menekan butang. Setiap Colossus yang perlu dibunuh ialah sebuah puzzle yang perlu dipanjat dengan bijak. Kuasa PS2 membolehkan watak gergasi yang realistik (mengikut standard grafik tahun 2005) dipaparkan di skrin. Yang mengecewakan kami ialah pengarah permainan ini, Fumito Ueda sudah lebih lapan tahun tidak mengeluarkan permainan baharu.

8.Guitar Hero II

Selalunya permainan yang memerlukan alat kawalan gimik akan gagal. Lihat sahaja Steel Batallion untuk Xbox, serta Samba de Amigo dan Seaman untuk Dreamcast. Selepas satu permainan, alat kawalan ini tidak lagi boleh digunakan dengan permainan lain. Guitar Hero II memulakan fenomena yang menyebabkan pembelian gitar plastik nirwayar adalah sesuatu yang munasabah.

Pada tahun 2006 ketika masih di universiti kami membeli GH II dengan dua alat kawalan gitar. Ia adalah pelaburan terbaik kerana setiap hujung minggu rumah sewah kami sering menjadi tempat lepak pilihan kawan-kawan yang ingin berhibur tanpa perlu mengeluarkan wang. Alat kawalan yang dibeli masih boleh digunakan sehingga sekarang. Malang sekali siri Guitar Hero (dan juga Rock Band) telahpun dihentikan. Tetapi jika anda ingin bertarung, kami sedia berentap dengan anda sepusingan dua dalam lagu Free Bird.

7. Gran Turismo 4

Grand Turismo 4 memulakan era HD PlayStation 2 kerana ia hanya satu daripada empat permainan yang menyokong resolusi 1080i. Masih belum 1080p tetapi saya masih ingat memainkan GT4 pada sebuah TV HD buat pertama kali di rumah. Imej nampak lebih tajam dan sistem pencahayaan GT4 membuatkan setiap kenderaan khususnya Ford GT40 nampak seperti objek sebenar. GT4 ialah permainan yang dihasilkan untuk menunjukkan kemampuan grafik PlayStation 2 dengan demo sentiasa dipamerkan di kedai permainan video. Grafik mantap dipadankan dengan aksi permainan simulasi yang realistik. Oleh sebab itu kami masukkan GT4 dalam senarai ini.

6.Silent Hill 2

Silent Hill 2 ialah antara permainan yang paling menakutkan pernah dihasilkan. Yang membuatkan ia menakutkan bukanlah kerana watak-watak pelik seperti Pyramid Head dan suster ngesot tetapi atmosfera bandar Silent Hill itu sendiri. Kabus yang tebal membuatkan pemain kerap dikejutkan dengan momok yang menerjah secara tiba-tiba. Kemudian grafik yang menjijikkan pula digunakan apabila Silent Hill berubah ke alam angkasa setan setiap kali siren berbunyi.

Silent Hill 2 mencapai tahap legenda dan kini versi olahan semula boleh dimainkan di PS5 dan PS4. Antagonis permainan seram biasanya ialah momok atau objek anker. Tetapi Silent Hill 2 menunjukkan sebuah bandar boleh menjadi perkara paling menakutkan walaupun tanpa momok disebarkan merata-rata seperti dalam Resident Evil atau Dead Rising.

5. Resident Evil 4

Bermula sebagai permainan eksklusif di Gamecube, Resident Evil 4 dilancarkan di PS2 pada tahun 2005 dan ia mengubah corak permainan Resident Evil. Sistem kawalan kereta kebal dengan kamera statik diubah kepada kawalan kayu analog dengan kamera diletakkan pada bahu watak yang dimainkan. RE 4 adalah lebih sebagai permainan aksi daripada sebuah “survival horror” dan ini membuka pintu kepada lebih banyak pemain menikmatinya.

Saya menghabiskan berpuluh-puluh jam semata-mata ingin mendapatkan Chicago Typewriter dan RPG. Apabila RE 4 dilancarkan semula di konsol moden, saya membelinya semula kerana nostalgia ialah candu kepada gamer tua. Nostalgianya cukup kuat sehingga selepas memainkan Resident Evil 4 Remake awal tahun ini saya masih merasakan versi asal di PS2 adalah versi lebih sempurna dan definitif.

4.Metal Gear Solid 3: Snake Eater

Dua permainan MGS dilancarkan di PlayStation 2 tetapi kami merasakan MGS3 Snake Eater ialah yang lebih baik berbanding MGS2 Sons of Liberty. Pertama sekali ialah tidak ada unsur penipuan kerana watak utama Naked Snake yang dikawal pemain dan bukannya Raiden. Jalan cerita juga lebih mantap dengan terdapat beberapa musuh legenda seperti The End yang amat sukar dibunuh tetapi boleh dikalahkan dengan menukar waktu jam PS2. Tidak ada permainan lain yang membenarkan kita mengelat menggunakan teknik ini.

Ini menjadi sebab mengapa permainan pertama ini diolah semula oleh Konami dan akan dilancarkan dalam masa terdekat menjadi Metal Gear Solid Delta. Jika anda terlepas memainkan MGS3 dua puluh tahun lalu, anda boleh memainkan permainan Hideo Kojima ini mungkin pada awal tahun depan,

3. God of War II

Permainan aksi yang penuh dengan mitologi Yunani dan pertempuran yang sengit. Kami memilih permainan kedua God of War kerana skala watak musuh yang dilawan adalah sangat mengejutkan. Kami memuji Shadow of The Colossus sebelum ini tetapi dalam God of War II skalanya jauh lebih besar.

Dari awal permainan Kratos telah membantai Colossus of Rhodes yang setinggi langit. Ini kemudian digantikan pula dengan babak memanjat tubuh Atlas yang berkali ganda lebih besar. GoW II memecahkan rekod saiz watak permainan video yang boleh dilawan di dalam permainan video. Walaupun sudah berusia 17 tahun, God of War II masih kekal epik!

2. WWE Smackdown Here Comes The Pain

Saya peminat permainan gusti WWE Smackdown sejak era PlayStation 1 lagi. Ini kerana pada awal milenium, gusti ialah rancangan sukan paling popular di TV3 walaupun ditayangkan lewat malam. WWE Smackdown Here Comes The Pain ialah kemuncak permainan gusti di PlayStation 2.

Terdapat kombinasi atlet legenda seperti The Rock, Hulk Hogan, Undertaker dan Stone Cold. Ini dipadankan dengan atlet baharu meningkat popular seperti Brock Lesnar dan John Cena. Sementara menanti Smackdown di TV, puluhan jam dihabiskan dalam HCTP. Beberapa tahun lalu muncul ura-ura permainan ini akan diolah semula tetapi dengan lesen tidak lagi dipegang oleh pembangun asal Yuke’s dan THQ, satu-satunya cara untuk menikmati HCTP ialah pada PS2 atau menggunakan penyelaku.

1. Grand Theft Auto: San Andreas

Permainan Grand Theft Auto paling laku dan menguntungkan Rockstar Games ialah GTA V. Tetapi jika anda bertanya golongan gamer tua bangka, mereka akan mengatakan GTA San Adreas ialah permainan yang terbaik bukan sahaja ketika era PS2 tetapi sehingga sekarang. Anda boleh menukar tubuh watak Carl “CJ” Johnson menjadi gemuk atau kurus. Meningkatkan tahap stamina dan kapasiti paru-paru. Setiap kemampuan boleh dipertingkatkan begitu juga dengan gaya rambut. Ini semua tidak dapat dilakukan dalam permainan GTA yang hadir selepas San Andreas.

Petanya juga gergasi dengan terdapat kawasan San Andreas, San Fiero dan Las Venturas yang mewakili Los Angles, San Francisco dan Las Vegas. GTA San Andreas kini boleh dimainkan pada telefon pintar, tablet, PC dan juga konsol generasi semasa dengan grafik lebih naik. Masih sukar dipercayai permainan sebesar San Andreas kini boleh dijalankan pada telefon pintar kelas pertengahan. Masa untuk “Oh tinja, mari lakukannya lagi!”

Komen