Kakitangan ASML dan Zeiss Ditawarkan Gaji Tiga Kali Ganda Untuk Berpindah Ke Huawei
Effi Saharudin
Huawei sudah dikenakan sekatan teknologi selama empat tahun oleh Amerika Syarikat menyebabkan mereka tidak lagi dapat mengakses faundri cip milik TSMC yang menawarkan teknologi lebih terkini. Mereka tidak mengalah dan sebaliknya menggandakan lagi usaha untuk menghasilkan cip sendiri menerusi kerjasama SMIC. Untuk mengurangkan lagi jurang teknologi, Huawei menawarkan gaji sehingga tiga kali ganda kepada kakitangan ASML dan Zeiss menurut laporan Wall Street Journal.

Kepakaran kakitangan kedua-dua syarikat ini diperlukan bagi membolehkan Huawei menghasilkan mesin litografi EUV mereka sendiri. Teknologi optik Zeiss digunakan pada mesin ASML yang membolehkan cip dengan teknologi 3nm dihasilkan. Pada waktu ini hanya ASML menghasilkan mesin NA EUV yang diperlukan.
Pada waktu yang sama pengambilan bekas kakitangan ASML turut dapat menyelesaikan isu tiada sokongan diberikan kepada pelanggan di China yang menggunakan teknologi lama. Walaupun gaji tinggi ditawarkan, tidak ramai mengambil peluang yang diberikan kerana risau dimasukkan ke dalam senarai hitam kerana pernah bekerja di China. Sebelum ini muncul laporan Huawei turut menawarkan gaji tiga kali ganda kepada kakitangan TSMC.