Pada Malaysia Autoshow 2023 yang lepas, Perodua sedia membuat kejutan dengan memperlihatkan kereta elektrik konsep, dinamakan sebagai EMO, iaitu Electric Motion Online. Kini, selang lebih setahun, Perodua telah mula mengacah melalui laman sosial mereka, memperlihatkan mereka bakal mempertontonkan kereta konsep generasi baharu dibawah jenama EMO pada acara KL International Mobility Show 2024 yang dijadualkan pada minggu ini.
Video acah yang dipertontonkan menunjukkan secara kasar rekaan yang bakal dibawakan oleh Perodua EMO 2. Melalui pencahayaan yang dimainkan, ia menunjukkan rekaan yang lebih “garang” berbanding sebelum ini.
Mengikut perkongsian pihak Perodua melalui kereta konsep yang dipertontonkan pada tahun lepas, ia dikatakan akan menawarkan kelajuan maksimum sehingga 160km/j, serta jarak perjalanan antara 300-350 kilometer dengan pengecasan bateri penuh. Versi baharu yang dipertontonkan ini juga mungkin membawa kemaskini spesifikasi berbanding hanya rekaan luaran semata-mata.
Apa pun, sama-sama kita nantikan apakah yang bakal dipertontonkan oleh Perodua pada acara KLIMS 2024. Untuk makluman, Perodua juga turut menyasarkan pengenalan kereta elektrik mereka secara rasminya pada 2025 kelak, dan dijangka berharga bawah RM100k.