Perang teknologi antara China dan Amerika Syarikat berterusan hari ni dengan Jabatan Perdagangan A.S memasukkan 140 lagi syarikat dari China ke dalam senarai ke dalam senarai entiti. Syarikat teknologi China ini dimasukkan ke dalam senarai entiti kerana dipercayai terlibat dalam percubaan memintas sekatan sedia ada serta terlibat dengan Huawei.
Selain itu penjualan memori dari jenis HBM juga kini dikenakan sekatan bagi mengelakkan ia digunakan pada cip kecerdasan buatan (AI) China. Antara syarikat yang menghasilkan HBM ialah Samsung, Micron dan SK Hynix.
Seperti sedia maklum jualan cip AI ke China telah disekat sejak tahun lalu bagi mengelakkan ia digunakan bagi tujuan ketenteraan dan mengelakkan China mempunyai kemampuan yang setanding dengan A.S. Beberapa alatan menghasilkan memori turut dikenakan sekatan yang sama.
Bagi mengurangkan jurang teknologi ini, Huawei dilaporkan sanggup membayar gaji tiga kali ganda kepada kakitangan ASML, TSMC dan Zeiss untuk berpindah. Pertelagahan antara China dan A.S akan menjadi semakin hangat selepas bakal presiden Donald Trump berjanji akan mengenakan tarif tambahan ke atas China.