Carian
Imej Olokan Lenovo Legion Go S Diperlihatkan
December 3, 2024 Nazrin

Kebelakangan ini banyak maklumat yang telah tertiris mengenai Lenovo Legion Go S, salah satu konsol PC yang akan diperkenalkan oleh Lenovo tidak lama lagi.

Sebelum ini, butiran seperti rangka konsol, nama sebenar konsol tersebut dan semalam, pengesahan bahawa konsol tersebut wujud sudahpun diperlihatkan di arena web. Terkini, imej olokan Lenovo Legion Go pula diperihatkan melalui laporan oleh Windows Central.

Melalui imej-imej yang diperlihatkan, ia kini boleh disahkan bahawa Lenovo Legion Go S akan hadir dengan rekaan yang lebih memiripi konsol seperti ASUS ROG Ally, daripada warna rangka sehinggalah susur atur kayu ria dan juga butang-butang.

Sama seperti Lenovo Legion Go sebelum ini, model yang lebih “mampu milik” ini mengekalkan dua palam USB Type-C, dimana ia dijangka bahawa salah satu daripadanya ialah USB Type-C dengan sokongan PowerDelivery, manakala satu lagi ialah palam USB4 yang hadir dengan kadar penghantaran data 40Gbps.

Walaupun Legion Go S tidak lagi hadir dengan kebolehan untuk mencabut alat kawalan permainan seperti Nintendo Switch, satu ciri yang dikekalkan ialah pad sesentuh yang kini nampaknya hadir dengan saiz yang lebih kecil, dibawah kawasan kayuria kanan.

Seperti yang juga dilaporkan sebelum ini, Lenovo Legion Go S dijangka akan dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen Z2G, iaitu cip APU yang paling berkuasa rendah dalam siri APU AMD Ryzen Z2 yang akan diperkenalkan AMD tidak lama lagi.

Lenovo juga dijangka akan memperkenalkan konsol tersebut sebagai sebahagian daripada beberapa konsol Lenovo Legion Go di acara CES 2025 tidak lama lagi.

Komen