Carian
Kad Grafik Intel Arc B580 Limited Edition Dilancarkan Secara Rasmi
December 4, 2024 Nazrin

Bersama-sama pelancaran siri kad grafik Intel Arc B580 dan Intel Arc B570 yang diperlihatkan semalam, Intel juga telah memperlihatkan kad grafik edisi terhad terbaru mereka, iaitu Intel Arc B580 Limited Edition. Butiran mengenai kad grafik ini sudahpun tertiris sebelum ini, dan ia kini rasmi.

Kad grafik ini memperlihatkan rekaan yang tidak terlalu berbeza dengan penawaran Intel Arc A770 dan Arc A570 Limited Edition sebelum ini, dimana ia tampil dengan rekaan serba hitam, dan mempunyai dua kipas penyejukan untuk menyejukkan komponen GPU dan juga VRM.

Apa yang menarik mengenai rekaan kad grafik terbaru ini ialah ia dilihat hadir dengan sirip penyejukan aluminum yang memiripi apa yang digunakan pada kad grafik Founders Edition NVIDIA, yang mana ia lebih panjang daripada papan litar kad grafik.

Kad grafik ini menggunakan satu palam kuasa PCIe 8-pin dan hadir dengan TDP sebanyak 190W sahaja, manakala dari segi sambungan palam pula, ia dilengkapi dengan tiga palam DisplayPort 2.1 dan satu palam HDMI 2.1.

Kad grafik Intel Arc B580 ini tampil dengan harga jualan $249, dan dijual di pasaran-pasaran terpilih buat masa ini.

Komen