TECNO Image Matrix Diperkenalkan Bersama Dua Teknologi Pengimejan AI Generasi Baharu
Fahim Zahar
Hari ini di kilang Transsion, Chongqing China berlangsungnya acara TECNO Future Lens 2024. Tecno telah memperlihatkan beberapa teknologi pengimejan lebih canggih untuk digunakan pada telefon pintar generasi baharu mereka. Sudah semestinya, ia adalah teknologi yang berkait rapat dengan era kecerdasan buatan.

Yang pertama adalah TECNO Image Matrix (TIM), iaitu “otak” kepada teknologi AI pengimejan mereka yang menstruktur dan mengoptimasikan kuasa untuk meningkatkan kemampuan pemprosesan imej. Kedua adalah EVS Dynamic Shot yang merupakan teknologi penstabilan imej tersendiri dan yang ketiga serta yang terakhir adalah Tap Any Zoom Dual Prism Telephoto, satu teknologi zum yang menjanjikan pengalaman zum yang stabil tanpa sebarang masalah.

TIM adalah teknologi pemprosesan imej AI dengan 4 tahap yang dikuasakan oleh TECNO AI dan salah satu daripadanya adalah TECNO Algorithm Process Stack (TAPS). Melaluinya setiap imej yang dirakam boleh diproses dengan lebih pantas dengan hasil yang terbaik yang lebih kemas dan sedap mata memandang.
AI RAW, AI SNAP, AIGC Studio dan AI UT (Universal Tone) adalah enjin-enjin pemprosesan di sebalik teknologi ini. Pada peranti TECNO akan datang, ia akan memberi kuasa kepada ciri seperti AI Shooting Quality++, Portrait Master, Video Master, AI Snap atau AI Image Studio.

EVS Dynamic Shot adalah teknologi penstabilan imej TECNO tersendiri. Ia memfokuskan kepada mengambil gambar subjek bergerak dan menjanjikan hasil paling stabil yang tidak ditawarkan oleh pesaing. Tecno menyatakan yang kaedah yang biasa digunakan adalah kamera mendapatkan data dari bingkai ke bingkai.
Untuk Tecno, mereka menggunakan gabungan CMOS dan litar frekuensi tinggi DVS untuk mengumpul data pergerakan subjek yang kemudiannya mengesan semua perubahan piksel dan terus mengunci subjek untuk hasil yang kemas dan cantik. Tecno memberi contoh ciri ini boleh digunakan untuk mengambil gambar atlet bersukan, lumba kereta, burung terbang dan banyak lagi.

Tap Any Zoom Dual Prism Telephoto pula adalah teknologi yang menyelesaikan masalah serta kerumitan mengambil gambar zum. Antara masalah yang ditemui adalah sukar untuk fokus, imej tidak stabil dan subjek tidak berada dalam bingkai dengan sempurna. Tecno menggabungkan rekaan kamera telefoto dengan dwi-prisma, penstabilan imej optik lens-shift, dan juga algoritma AI yang bijak.

Seperti namanya, ciri ini membenarkan pengguna mengambil gambar um yang jelas dengan hanya sentuh dua kali pada subjek. Dalam mod 0.6x atau 1.0x, ia akan berubah ke mod zum mencapai sehingga 30x dan memastikan subjek berada dalam bingkai dengan sempurna.
Tecno turut menganggarkan kemampuan zum mereka boleh mencapai 14x lebih jauh berbanding penggunaan mod lensa 125mm yang biasa. Teknologi ini turut mempunyai mod 400MP yang menstruktur semula imej, selain turut menggabungkannya menjadi satu imej yang lebih sempurna dan beresolusi tinggi.

Peranti prototaip bagi telefon pintar dengan teknologi-teknologi ini sudah pun dibangunkan. Peranti ini akan dilancarkan pada tahun 2025 dan akan hadir pada peranti-peranti popular serta berkuasa generasi baharu Tecno. Sayang sekali, Tecno tidak mendedahkan siri peranti mana secara spesifik. Sama-sama kita nantikan kehadiran peranti baharu Tecno pada tahun 2025.