AI Google Boleh Melakukan Ramalan Cuaca Tepat Sehingga 15 Hari
Effi Saharudin
Ramalan cuaca hanya mempunyai ketepatan 50% sahaja sekiranya diramal sehingga 10 hari. Ia meningkat ke 90% sekiranya ramalan dilakukan untuk 5 hari. Penyelidik daripada Google Deepmind hari ini mengumumkan model kecerdasan buatan (AI) baharu GenCast yang boleh melakukan ramalan tepat sehingga 15 hari. GenCast melangkaui model mereka sebelum ini iaitu GraphCast yang boleh melakukan ramalan tepat sehingga 10 hari sahaja.
Apabila dibandingkan dengan ramalan cuaca yang dilakukan oleh European Centre for Medium-range Weather Forecast (ECMWF), GenCast lebih baik dalam meramal cuaca harian dan juga kejadian cuaca ekstrem. Ia boleh meramal tekanan udara, kelajuan angin, arah tiupan angin dan suhu. Kejituan ramalan suhu juga boleh dilakukan pada resolusi tinggi dengan ketepatan suhu 0.25°.

Seperti GraphCast, GenCast telah dilatih menggunakan data ECMWF selama 40 tahun dan ramalan untuk 15 hari ini dilakukan menggunakan satu komputer Google Cloud TPU v5 j dalam masa hanya 8 minit. Sebagai perbandingan ramalan yang sama menggunakan model ENF oleh ECMWF mengambi masa beberapa jam dan puluhan ribu cip pemproses.
Ramalan cuaca yang tepat adalah perlu lebih-lebih lagi dalam situasi dunia sedang dilanda impak perubahan iklim yang serius. Dapat dilihat berlakunya banjir melampau di Eropah dan taufan di Amerika Utara.
Sementara itu di negara kita sendiri banjir di Pantai Timur tahun ini dilaporkan lebih teruk daripada sebelum ini. Ramalan AI boleh memberikan masa kepada pihak berkuasa melakukan perancangan bantuan, menguruskan aset kecemasan dan memberikan amaran kepada penduduk yang akan terkesan.
Kertas kajian yang dilakukan oleh DeepMind untuk GenCast telah diterbitkan dalam jurnal saintifik Nature.