Carian
Nod Proses Intel 18A Mencatatkan Pengeluaran Cip Semikonduktor Serendah 10 Peratus Sahaja
December 6, 2024 Nazrin

Intel nampaknya kini sedang menghadapi krisis selepas krisis berkenaan perniagaan mereka. Tidak lama selepas Pat Gelsinger bersara sebagai CEO syarikat tersebut, ia dilaporkan bahawa nod proses Intel 18A masih belum bersedia untuk pengeluaran cip semikonduktor secara besar-besaran.

Pada bulan September yang lalu, Broadcom, sebuah syarikat pembuat komponen elektronik dilaporkan telah menguji kemampuan nod proses Intel 18A ini untuk menghasilkan cip pemprosesan untuk produk rangkaian berkelajuan tinggi mereka, dan nampaknya ia tidak membuahkan hasil yang memuaskan.

Menurut laporan Chosun, media dari Korea Selatan yang melaporkan tentang perkara berkaitan industri elektronik dan IT, mereka mendapati bahawa proses pengeluaran cip pemprosesan tersebut hanya mampu menghasilkan jumlah pengeluaran cip semikonduktor yang boleh digunakan serendah 10 peratus sahaja.

Angka ini dilihat sangat teruk, sehinggakan ia tidak boleh digunakan untuk proses pengeluaran cip semikonduktor secara besar-besaran, dan Broadcom nampaknya sedang melihat untuk mengilang komponen-komponen perkakasan rangkaian mereka dengan syarikat lain.

Intel 18A sepatutnya menjadi proses pengeluaran paling moden Intel, menandingi proses TSMC N2 yang juga sepatutnya memulakan proses pengeluaran besar-besaran pada tahun 2025 tidak lama lagi. Malah, Intel sebelum ini dilihat menghentikan pembangunan proses 20A (20 Angstrom) dan melompat terus ke 18A (18 Angstrom) untuk mempercepatkan lagi perkembangan dan kemajuan teknologi Intel untuk bersaing dengan syarikat seperti TSMC.

Pada bulan September, Intel juga telah memperlihatkan cip pemprosesan Intel Xeon akan datang mereka, Clearwater Forest yang dibina menggunakan proses 18A, menunjukkan bahawa Intel bersedia untuk memperkenalkan teknologi pengeluaran cip semikonduktor terbaru mereka untuk kegunaan sendiri sebelum ia diperkenalkan kepada pelanggan-pelanggan lain.

Setakat ini, pihak Intel nampaknya belum mengeluarkan kenyataan mengenai laporan ini, dan jika ia benar, ia tidak lagi pasti samada Intel boleh menggunakan teknologi 18A untuk mengeluarkan siri cip pemprosesan Panther Lake mereka pada tahun hadapan.

Komen