Di acara Computex Taipei pada tengah tahun ini, kami ada melaporkan bahawa ZOTAC, syarikat pembuat perkakasan dan komponen gaming telah memperkenalkan konsol PC mudah-alih mereka tersendiri yang dinamakan ZOTAC Zone.
Konsol ini dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen 7 8840U bersama-sama dengan memori LPDDR5X sebanyak 16GB dan storan SSD PCIe Gen4 M.2 2280 dengan storan sebesar 512GB. Ia hadir dengan paparan skrin sesentuh AMOLED bersaiz 7.0 inci dengan resolusi Full HD, kadar segar semula 120Hz dan nilai kecerahan 800nit bersama-sama sudut pandangan 170 darjah.
Konsol ini menggunakan butang bahu dengan dua tetapan berbeza dengan suis terbina untuk kawalan berbeza. Kemudian pada tombol analog terdapat suis Hall Effect dan tombol berputar Radial Dial yang digunakan untuk mengawal aras suara atau kecerahan skrin. Ia turut menyertakan dua pad sesentuh yang mudah dikawal dengan ibu jari.
Ia turut disertakan dengan dua palam USB 4.0 di bahagian atas dan bawah konsol, yang mana ia boleh digunakan untuk mengecas peranti, dan digunakan bersama dermaga yang boleh dibeli secara berasingan apabila ia dilancarkan kelak.
Kedua-dua palam ini hadir dengan sokongan untuk sambungan DisplayPort 1.4 yang membolehkan pengguna untuk menyambungkan konsol ini kepada paparan yang lebih besar.
Terkini, kami telah mendapat tahu bahawa ZOTAC Malaysia, melalui pengedar rasmi SunCycle membuka pra-tempahan untuk konsol ini, dan ia akan mula dijual secara rasmi WOW Carnival di satu acara yang akan diadakan di tingkat lima di The Starling Mall di Damansara Utama bermula 13 ke 15 Disember 2024 ini.
Acara ini, yang diadakan bersama-sama dengan kedai komputer PC Image nampaknya akan memperlihatkan konsol tersebut dan sejumlah produk-produk gaming yang lain di acara tersebut.
Lowyat.Net juga melaporkan bahawa pra-tempahan untuk konsol ini sudahpun dibuka pada harga RM3899 dan akan dijual secara rasmi di acara tersebut pada 13 Disember ini. Selain daripada itu, rangka penyimpanan bernilai RM189 dan dermaga pengecasan dan USB berharga RM289 juga akan dijual di acara tersebut.
Untuk pelanggan yang pra-tempah konsol tersebut di kedai rakan pengedar rasmi Sun Cycle, rangka penyimpanan akan ditawarkan secara rasmi, manakala dermaga pula akan ditawarkan pada harga RM199.