Tidak lama selepas Qualcomm memperlihatkan cip pemprosesan terbaru dan paling berkuasa mereka, Qualcomm Snapdragon 8 Elite, sejumlah jenama peranti pintar telah memperlihatkan penawaran terbaru mereka yang menggunakan cip pemprosesan ini, dan salah satu daripada mereka ialah ASUS ROG Phone 9, yang sama seperti model sebelum ini, hadir dengan tiga model yang menawarkan memori dan storan berbeza.
ASUS Malaysia telah menghantar salah satu daripada peranti pintar baru ini, iaitu ASUS ROG Phone 9 Pro Edition untuk kami uji sebelum pelancarannya di pasaran Malaysia kelak, dan dalam artikel pandang pertama ini, kami akan memperlihatkan kepada anda apa yang lain (dan sama) mengenai peranti ini.
Rekaan Dan Spesifikasi
ASUS ROG Phone 9 Pro Edition | |
---|---|
Skrin | 6.78″ AMOLED, 185Hz 1080 x 2400 pixels |
Pemproses | Snapdragon 8 Elite (3 nm) |
Cip | 2x 4.32 GHz – Oryon (Phoenix L) 6x 3.53 GHz – Oryon (Phoenix M) |
Cip Grafik | Adreno 830 |
RAM | 24GB LPDDR5 |
Muatan Dalaman | 1TB UFS 4.0 |
Kamera Utama | 50 MP, f/1.9, (lebar), PDAF 32 MP, f/2.4, (telefoto) 13 MP, f/2.2 (telefoto) |
Kamera Swafoto | 32MP f/2.5 |
Bateri | 5800 mAH Berwayar 65W Nirwayar 15W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Ada |
Kalis Air | IP68 |
Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari Imbasan Wajah |
Harga |
Bermula dengan rekaan ASUS ROG Phone 9 Pro Edition, secara ringkasnya ia hadir dengan rekaan dan juga saiz skrin yang sama seperti model sebelumnya, ASUS ROG Phone 8 Pro. Ia tampil dengan paparan skrin AMOLED bersaiz 6.78 inci dengan resolusi 2400×1080 dan nilai kecerahan setinggi 2500 nit.
Satu-satunya perbezaan utama yang hadir ialah pada kadar segar semula skrin, dimana siri ROG Phone 9 semuanya hadir dengan kadar segar semula 185Hz pada semua model peranti dalam siri ini. Sama seperti ASUS ROG Phone 8, siri peranti ROG Phone terbaru ini juga hadir dengan penilaian kalis debu dan air IP68, menjadikannya sebuah peranti yang tahan lasak juga.
Seperti yang dikatakan sebelum ini, siri peranti ASUS ROG Phone 9 dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite. Untuk model Pro, ia juga tampil dengan jumlah memori LPDDR5X 16GB dan juga storan UFS 4.0 terbina sebesar 512GB.
Modul kamera pada ROG Phone 9 Pro jEdition uga memperlihatkan rekaan yang hampir sama, tetapi model kamera baru ini menggunakan sensor Sony Lytia 700 50MP terbaru yang hadir dengan sistem 6-axis Hybrid Gimbal Stabilizer 4.0 yang menjanjikan gambar yang lebih stabil dan juga katup yang lebih pantas walaupun dengan gegaran yang teruk.
Penggunaan sistem kamera seperti ini dilihat sebagai usaha ASUS untuk menjadikan siri ROG Phone sebagai sebuah peranti pintar premium yang mempunyai kemampuan keseluruhan yang lebih baik, dan bukan sahaja peranti pintar khusus untuk gaming semata-mata.
Keunikan siri peranti ASUS ROG Phone juga diperlihatkan dalam beberapa cara yang lain, seperti penggunaan dua palam pengecasan USB di bahagian bawah dan juga di bahagian sisi peranti. Perkara ini nampaknya dikekalkan pada semua peranti ASUS ROG Phone 9, bersama-sama dengan palam audio 3.5mm untuk sambungan fon telinga berwayar dengan teknologi audio Dirac Virtuo for Headphone yang diperlihatkan pada model sebelum ini.
Satu lagi ciri unik ialah paparan skrin AniMe Vision di bahagian belakang peranti, khusus untuk model ASUS ROG Phone 9 Pro dan ASUS ROG Phone 9 Pro Edition. Kali ini, paparan skrin AniMe Vision yang ditawarkan adalah lebih besar dengan 648 titik LED yang bukan sahaja mampu menyokong imej yang lebih besar, tetapi juga teks dalam bahasa Mandarin dan Jepun.
Bukan itu sahaja, khusus untuk dua peranti ROG Phone 9 Pro dan ROG Phone 9 Pro Edition, paparan AniMe Vision ini hadir dengan kebolehan untuk memainkan beberapa permainan ringkas yang ditawarkan melalui perisian Armoury Crate yang juga merumahkan pelbagai tetapan untuk menambahbaik prestasi peranti ini.
Kawalan untuk permainan-permainan ini dilakukan melalui butang bahu AirTrigger. Anda akan perlu membiasakan diri anda dengan perisian Armoury Crate untuk memainkan permainan-permainan ini, tetapi ia tidak terlalu sukar untuk dicari selepas anda membelek sedikit menu perisian tersebut.
Mungkin satu keputusan aneh yang masih dibuat untuk peranti ini ialah walaupun jumlah baterinya dinaikkan ke 5800mAH, ia masih lagi menggunakan teknologi pengecasan 65W walaupun terdapat jenama lain yang sudahpun menawarkan teknologi pengecasan 200W.
Aksesori
Untuk ulasan ini, ASUS ROG Phone 9 Pro Edition nampaknya hadir dengan sebuah kotak yang cukup besar sekali. Ia bukan sahaja merumahkan peranti tersebut, tetapi juga aksesori-aksesori tambahan seperti kepala pengecas, kabel, selongsong peranti dan juga penyejuk ROG Phone yang terbaru, iaitu AeroActive Cooler X Pro.
Model terbaru ini hadir dengan diameter kipas yang lebih besar dan bahan penebat haba terbina yang lebih tebal untuk menyejukkan lagi peranti ROG Phone 9 Pro Edition ini. Saya diberitahu bahawa secara teknikalnya, penyejuk AeroActive Cooler X yang digunakan pada ROG Phone 8 sebelum ini juga boleh digunakan pada ROG Phone 9, tetapi mungkin tidak secekap apa yang ditawarkan dengan model baru.
Perisian
Siri ASUS ROG Phone 9 menggunakan sistem operasi Google Android 15 dengan antaramuka ROG UI dimana ASUS telah mengesahkan bahawa peranti ini akan hadir dengan sokongan untuk dua generasi kemaskini sistem operasi di masa akan datang dan juga kemaskini sekuriti selama lima tahun.
Untuk sebuah peranti pintar gaming kelas premium, jangkamasa kemaskini versi sistem operasi ini dilihat sangat pendek, khususnya apabila jenama peranti seperti Samsung telah menjanjikan sokongan untuk kemaskini sistem operasi selama tujuh generasi sehingga Android 21 pada tahun 2031 kelak.
Tidak banyak yang boleh saya katakan tentang antaramuka ROG UI ini kerana kebanyakan rupa dan fungsinya dilihat sama seperti apa yang diperlihatkan pada peranti ASUS ROG Phone 8 sebelum ini. Ya, ada ciri-ciri baru yang diperlihatkan pada peranti ini, tetapi kami akan jelaskan beberapa daripadanya di perenggan-perenggan dibawah.
Prestasi Gaming
Saya berkesempatan untuk menguji permainan seperti Honkai: Star Rail dan Zenless Zone Zero pada ASUS ROG Phone 9 Pro Edition ini, dan percubaan awal saya memperlihatkan prestasi peranti yang memiripi apa yang ditawarkan pada ROG Phone 8, tetapi pada tahap suhu yang lebih rendah.
Saya dapat memainkan kedua-dua peranti ini pada kadar bingkai 60FPS dengan tetapan tinggi tanpa masalah, dan walaupun tanpa kipas penyejuk, saya tidak rasakan bahawa peranti ini panas sekalipun.
Setelah menggunakan ROG Phone 9 Pro Edition ini untuk beberapa minggu, dan bermain dengan permua-permua popular seperti Genshin Impact, Honkai Star Rail, Zenless Zone Zero dan Wuthering Waves, saya dapati bahawa prestasi kadar bingkainya adalah lebih kurang sama seperti apa yang ditawarkan pada peranti ASUS ROG Phone 8 Pro Edition yang saya gunakan sebagai peranti harian selama ini.
Tetapi jika ada beberapa perbezaan ketara yang saya dapat lihat pada peranti ROG Phone 9 Pro Edition ini ialah dari segi kestabilan kadar bingkai dan juga purata suhu peranti yang lebih baik. Dari segi dropped frames dalam permainan, saya dapati bahawa dengan permua yang boleh digerakkan pada kadar bingkai sekitar 60-120FPS, ia jauh lebih stabil berbanding apa yang boleh dilakukan pada ROG Phone 8 Pro Edition saya.
Dari segi suhu juga, ia akan melangkaui suhu 40 darjah Celcius apabila memuat-turun fail permua ataupun mengemaskini versi permainan tersebut, mungkin kerana penggunaan modem WiFi7 terbina untuk kadar penghantaran dan penerimaan data yang lebih tinggi.
Secara lazimnya, apabila memainkan permua-permua seperti ini untuk jangka-masa lama (30 minit-1 jam), saya dapati bahawa suhu peranti akan stabil pada tahap 38-40 Celcius dengan permua seperti Honkai Star Rail, Genshin Impact dan Zenless Zone Zero, yang mana ia adalah diantara permua yang paling intensif untuk peranti pintar.
Ini adalah kerana sistem penyejukan GameCool 9 yang diperkenalkan pada siri peranti ini memperlihatkan penggunaan Boron Nitride sebagai bahan penyejukan SoC yang terbaru, dan penggunaan lapisan graphite yang lebih besar membantu dalam mengalirkan haba daripada komponen-komponen lain peranti ini.
Jika anda mahu game pada suhu peranti yang lebih rendah, setiap pembelian ASUS ROG Phone 9 Pro Edition ini juga disertakan dengan penyejuk AeroActive Cooler X Pro yang boleh menyejukkan peranti anda sebanyak 6-8 darjah Celcius tanpa masalah.
Bateri
Siri ASUS ROG Phone 9 semuanya hadir dengan bateri bersaiz 5800mAH, iaitu 300mAH lebih besar daripada model sebelumnya. Dari segi penggunaan hari ke hari, ROG Phone 9 Pro Edition boleh digunakan sepanjang hari tanpa masalah, walaupun jika anda menggunakannya untuk aktiviti gaming ringkas 5-10 minit sekali dua sehari.
Apa yang menarik di sini ialah ASUS masih lagi menggunakan teknologi pengecasan HyperCharge 65W mereka. ASUS mengatakan bahawa ini adalah kerana pengecasan pantas seperti 100W keatas memang pantas, akan tetapi ia akan menyebabkan bateri menjadi panas, khususnya apabila ASUS menggunakan sistem dwi bateri yang dikatakan membantu dalam pengecasan dan pelepasan kuasa bateri yang lebih cekap.
Walaupun begitu, dalam pengalaman selama saya menggunakan ROG Phone 9 ini, pengecasan bateri menggunakan pengecas HyperCharge 65W masih lagi rasa agak panas apabila menyentuh peranti, tetapi dalam aspek ini mungkin ASUS mengatakan bahawa ia tidak sepanas peranti-peranti lain yang menggunakan teknologi pengecasan yang lebih pantas.
Kecerdasan Buatan
Salah satu fokus baru untuk ASUS pada siri ROG Phone 9 ialah integrasi ciri kecerdasan buatan pada peranti mereka. Ciri ini diperkenalkan pada peranti ROG Phone 8 melalui ciri X Sense pada tahun lepas, dimana permua seperti Genshin Impact dan Honkai Star Rail memperlihatkan fungsi untuk mempercepatkan dialog dalam permainan, dan Genshin Impact menerima fungsi dimana barang di sekeliling dunia Teyvat boleh diambil secara automatik.
Pada siri peranti ROG Phone 9, ciri X Sense baru telah ditambah untuk permainan-permainan e-sukan seperti Mobile Legends, Arena of Valor dan League of Legends Wild Rift. Ciri tersebut, yang dinamakan Auto Skill Upgrade ialah sebuah ciri yang mengesan apabila watak yang anda mainkan telah mendapatkan skill baru, dan memetakannya pada butang yang sepatutnya secara automatik tanpa pengguna perlu melakukan apa-apa.
Ciri ini sedikit sebanyak dapat membantu pemain untuk hanya fokus pada aksi permainan dan tidak perlu lagi gopoh untuk memetakannya secara manual. Satu lagi ciri AI iaitu AI Grabber yang sebelum ini diperkenalkan untuk memudahkan carian tutorial di Google akan hadir dengan ciri terjemahan terbina tidak lama lagi.
Jika anda kaki permainan gacha seperti saya, ASUS ROG Phone 9 juga hadir dengan ciri rakaman AI yang dinamakan X-Capture yang akan merakam bahagian-bahagian tertentu secara automatik, seperti apabila anda menekan butang gacha dalam permua, ataupun membuat aksi menewaskan pihak lawan dalam permainan-permainan seperti Mobile Legends, Honor of Kings dan sebagainya.
Video-video ini akan siap dirakam secara automatik dan boleh ditonton selepas anda keluar dari permua.
Ciri X Sense boleh diakses melalui menu Game Genie dengan meleretkan jari dari sudut atas kiri atau kanan peranti apabila anda berada dalam permainan. Pelbagai tetapan lain seperti menu pemantau prestasi peranti dan lain-lain dapat diakses melalui menu tersebut.
ASUS juga mengesahkan bahawa siri ROG Phone 9 juga akan hadir dengan fungsi Circle To Search pada penghujung tahun ini. Apabila ulasan ini ditulis, ciri ini nampaknya masih belum diperkenalkan lagi.
Kamera
Satu lagi penaiktarafan besar yang diperlihatkan pada siri peranti ASUS ROG Phone 9 ialah dari segi kamera. Ya, ia mungkin agak aneh untuk melihat sebuah peranti pintar yang memfokuskan kepada gaming untuk mengambil kisah tentang kualiti gambar yang diambil, tetapi oleh kerana siri ASUS Zenfone nampaknya tidak lagi akan memasuki pasaran tempatan untuk seketika, mungkin ini adalah sesuatu yang baik untuk pengguna.
ASUS ROG Phone 9 menggunakan sensor Sony Lytia 700 terbaru yang buat masa ini hanya dilihat pada peranti-peranti pintar tertentu seperti OPPO Find X8 dan beberapa peranti Motorola yang dilancarkan baru-baru ini.
Kualiti gambar yang diperlihatkan nampak tajam, dan mempunyai saturasi warna yang menarik terima kasih kepada fokus Sony terhadap olahan warna melalui teknologi HDR di situasi dimana cahaya mencukupi.
Kamera peranti ini juga mempunyai Night Mode, tetapi dalam mod ini, fungsi HDR dan tangkapan dalam resolusi 50MP dan 32MP dinyahaktifkan.
Dalam pada itu, ASUS juga memperkenalkan dua ciri kamera baru pada ROG Phone 9, iaitu AirTrigger Capture yang membolehkan pengguna menggunakan butang kapasitif AirTrigger kanan untuk mengambil gambar atau memulakan rakaman video dan ciri Document Scanner yang membolehkan pengguna untuk mengimbas dokumen menggunakan kamera.
Skor Penanda Aras
Cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite merupakan cip pemprosesan mercu terbaru daripada Qualcomm yang akan menguasakan banyak peranti pintar mercu terbaru yang akan keluar di pasaran kelak.
Gabungan rekaan 3nm dan teknologi-teknologi kecekapan kuasa terbaru yang diperlihatkan dalam cip ini memperlihatkan skor penanda-aras yang cukup mengagumkan sekali.
Antutu
Geekbench 6
PCMark (Work 3.0)
3DMark (Solar Bay)
3DMark (Wild Life Extreme)
3DMark (Steel Nomad Light)
Ada Apa Dalam Kotak?
Ini adalah apa yang ditawarkan didalam kotak ASUS ROG Phone 9 Pro Edition apabila anda membeli peranti ini:
- 1x ASUS ROG Phone 9 Pro Edition
- 1x pengecas HyperCharge 65W
- 1x kabel pengecas 65W
- 1x AeroActive Cooler X Pro
- 2x rangka silikon peranti
Penutup
Pendapat jujur saya mengenai ASUS ROG Phone 9 Pro Edition ini secara ringkasnya adalah kembar dua serupa dari segi luaran, tetapi terdapat ciri-ciri berguna untuk gamer-gamer yang dilihat bermanfaat khususnya jika mereka bermain permua-permua yang disokong.
Ya, skor penanda-aras pada ASUS ROG Phone 9 Pro Edition dilihat mengagumkan, terima kasih kepada penggunaan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite. Akan tetapi dari segi penggunaan harian untuk tujuan gaming dan riadah khususnya, tidak banyak perbezaan diantara peranti ini dengan model sebelumnya.
Isu ini, digabungkan dengan fakta bahawa sokongan dari segi kemaskini sistem operasi hanya terhad kepada dua versi Android akan datang (Android 16 dan Android 17) dan sokongan sekuriti lima tahun membuatkan peranti ini agak sukar untuk disyorkan.
Walaupun begitu, saya akan katakan jika anda seorang yang mahu membeli peranti pintar premium berkuasa baru kerana anda mahu bertukar dari sebuah peranti yang lama ataupun rosak, anda tidak akan kecewa dengan siri ROG Phone 9 ini.
Anda tidak perlu membeli model ROG Phone 9 Pro Edition yang paling mahal, kerana apa yang penting untuk peranti ini ialah penggunaan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite yang sangat cekap dan sangat berkuasa.
Pro:
- Prestasi kadar bingkai sewaktu gaming yang tinggi dan stabil
- Tidak panas walaupun memainkan permua untuk jangkamasa lama
- Ciri-ciri AI baru
- Fungsi AirTrigger diperluaskan
- Gimik permainan menggunakan paparan AniMe Vision yang menarik
Kontra:
- Tiada sebab untuk menaiktaraf dari ROG Phone 8 dari segi prestasi
- Kualiti kamera lebih kurang sama seperti sebelum ini
- Masih menggunakan pengecasan 65W
- Kemaskini sistem operasi Android yang terhad berbanding peranti mercu lain