Carian
Set Kepala XR Samsung Dijangka Mula Dijual Q3 2025
December 9, 2024 Effi Saharudin

Selepas lebih setahun ditangguh disebabkan pelancaran Apple Vision Pro, Samsung dijangka akan akhirnya melancarkan set kepala realiti diperluas (XR) pada Q3 2025 menurut laporan Seoul Economic Daily. Set kepala yang dibangunkan menggunakan kod nama Project Moohan ini turut dikatakan akan diperlihatkan ketika pelancaran Galaxy S25 bulan depan.

Samsung HMD Odyssey

Samsung menyasarkan jualan sebanyak 50,000 unit sahaja sepanjang 2025 kerana pelancarannya adalah terhad di peringkat awal. Ini adalah taktik jualan yang sama seperti Galaxy Ring yang masih belum memasuki pasaran Malaysia walaupun dilancarkan pada penghujung Julai yang lalu.

Dengan jualan skala kecil ini, Samsung boleh mengukur minat orang ramai terlebih dahulu sebelum menambah lebih banyak pasaran di masa hadapan. Difahamkan rekaan set kepala ini adalah mirip dengan Meta Quest 3. Ini adalah bagi mengurangkan kos jualan selepas melihat apa yang berlaku kepada Vision Pro beberapa bulan selepas dilancarkan.

Google akan memberikan ruangan khas untuk aplikasi VR, AR dan XR di dalam Play Store. Qualcomm pula kini mengeluarkan beberapa cip khusus untuk set kepala yang juga digunakan oleh Meta.

Komen