Carian
Aplikasi Instagram Di Malaysia Mula Memaparkan Pilihan Perkongsian Imej Janaan Meta AI
December 11, 2024 Fahim Zahar

Penggunaan Meta AI di platform-platform media sosial dan pemesejan mereka kini semakin berkembang sehingga sudah mencapai lebih 600 juta pengguna. Sayang sekali, ia masih tidak boleh digunakan di Malaysia walaupun sudah disahkan bakal tiba. Walaupun begitu, sedikit demi sedikit petanda yang ia semakin tiba ke Malaysia sudah muncul.

Semalam, Facebook membenarkan pengguna memberi penghargaan kepada pengikut dengan imej janaan AI. Terbaru, ciri lebih kurang sama mula tiba pada Instagram pula. Ciri ini terpapar pada bahagian kamera dalam aplikasi Instagram, di mana di bawah Layout kini ada pilihan AI Images dengan antaramuka moden produk Meta.

Beberapa imej telah disediakan untuk pengguna terus kongsi atau mengambil inspirasi. Malah, imej yang telah dijana turut memaparkan prom agar pengguna boleh menjana sendiri dengan hasil yang unik tetapi mempunyai gaya lebih kurang sama. Pengguna turut boleh memasukkan prom sendiri untuk menjana imej asli sepenuhnya.

Sayang sekali, dalam percubaan kami di aplikasi Instagram pada iPhone 15 Pro Max – ciri ini masih belum sedia digunakan dengan ia kerap mengeluarkan masalah memuat. Tidak kira memilih gambar tersedia atau menjana sendiri, ia masih tidak boleh digunakan. Meta AI mungkin akan tiba tidak lama lagi, sama-sama kita nantikan dan pastikan aplikasi anda telah menjalankan versi yang terkini.

Komen