Sejak Apple memperkenalkan penjejak objek mereka AirTag, ramai orang yang tidak bertanggungjawab mula menggunakannya sebagai gajet mengintip. Disebabkan itu Apple dan Google kemudiannya bekerjasama bagi memastikan gajet seperti ini tidak disalahgunakan. Terbaru, Android akan memperkenalkan ciri keselamatan tambahan.
Tahun ini, majoriti peranti Android dan iPhone mula menyokong sistem notifikasi yang memberitahu jika ada penjejak objek bukan milik sendiri berada berdekatan. Dua ciri yang akan ditambah adalah Temporarily Pausing Location dan Find Nearby.
Temporarily Pausing Location atau menjeda lokasi sementara membenarkan pengguna menjeda lokasi untuk 24 jam. Perkara ini akan membuatkan pemilik penjejak objek tidak boleh mengintip anda mengikut lokasi tepat. Sementara lokasi dijeda, ia turut memberi peluang kepada anda untuk mencari objek penjejak ini.
Find Nearby pula membenarkan anda mencari semula penjejak objek yang disyaki digunakan untuk mengintip. Sistem ini akan menggunakan Bluetooth pada peranti dan kompas terbina dari dalam tetapan sistem untuk mencari penjejak objek ini.
Ciri baharu ini dilihat terhad kepada penjejak objek di bawah sistem carian Google Find My Device. Sokongan mencari atau mengesan AirTag sudah sedia terbina secara natif dari dalam peranti Android dengan GMS.