Acara GeForce LAN 50 diumumkan NVIDIA pada penghujung minggu lalu sempena pelancaran siri kad grafik RTX 50XX. Ia akan diadakan pada 4 hingga 6 Januari 2025 di empat lokasi iaitu Las Vegas, Berlin, Taipei dan Beijing. Parti LAN ini akan berlangsung berterusan selama 50 jam bagi memenuhi tema pelancaran kad grafik RTX 50XX yang cukup dinantikan.
Ini merupakan parti LAN besar-besaran pertama dianjurkan oleh NVIDIA dalam tempoh 13 tahun. Dengan pengenalan internet pantas, acara yang memerlukan komputer di bawah ke sebuah lokasi fizikal dan disambungkan menggunakan kabel LAN sudah tidak begitu popular.
Tetapi ketika zaman awal permainan video di PC, parti LAN ialah acara yang kerap berlangsung bagi mengukuhkan hubungan antara komuniti permainan video tertentu. Semasa kami di kolej parti LAN untuk permainan video Counter Strike dan Ragnarok Online adalah antara yang paling popular dilakukan beberapa kali setahun dengan kerjasama pengurusan universiti.
Sesiapa sahaja boleh menyertai GeForce LAN 50 dengan ia terhad kepada 400 peserta sahaja di setiap lokasi. Kemudian mereka perlu membayar deposit $125 yang akan dikembalikan bagi mengelakkan ketidakhadiran. Bagi peminat NVIDIA yang tidak boleh menyertai GeForce LAN 50, mereka masih boleh memenangi beberapa hadiah menarik sekiranya menggunakan perisian NVIDIA App dan berkongsi ke media sosial.