Carian
OnePlus Open 2 Tertiris – Snapdragon 8 Elite, Rekaan Nipis Dan Tahan Lasak
December 17, 2024 Fahim Zahar

Peniris terkenal China Digital Chat Station baru-baru ini telah mendedahkan spesifikasi yang didakwa adalah untuk peranti Oppo Find N5. Peranti ini turut dijangka akan menjadi OnePlus Open 2 untuk pasaran global.

Telefon dengan skrin boleh lipat generasi kedua Oppo dan OnePlus ini dikatakan akan dijana cip Snapdragon 8 Elite, mempunyai sistem kamera telefoto 50MP, menyokong pengecasan nirwayar dengan bateri tahan lebih lama, menggunakan rekaan nipis dan tahan lasak berserta dengan perlindungan IPX8.

Peranti turut akan menjalankan ColorOS 15 atau OxygenOS 15 berasaskan Android 15, lengkap dengan ciri AI. Peranti ini dijangka akan dilancarkan pada suku pertama tahun 2025.

Memandangkan Oppo Malaysia telah memfokuskan jualan peranti mercu mereka Find X8 dan Find X8 Pro serta SIRIM telah mengesahkan kehadiran OnePlus 13 pada tahun ini, Oppo Find N5 atau OnePlus Open 2 mungkin adalah peranti mercu mereka untuk tahun 2025. Sama-sama kita nantikan.

Komen