Satu lagi tahun berlalu dan Oppo Find N3 telah dilancarkan di China hari ini. Ia adalah iterasi ketiga peranti skrin boleh lipat jenis Fold daripada mereka dan kali ini ia disahkan akan memasuki pasaran Malaysia. Jika anda ada membaca ulasan saya mengenai Find N2 sebelum ini, saya katakan bahawa ia peranti yang seharusnya dijual ke pasaran global kerana ianya sangat menarik kerana rekaannya yang lebih kecil berbanding siri Z Fold, MIX Fold dan Mate X.
Oppo Find N3 kini mempunyai rekaan yang lebih selari dengan tiga pesaing yang saya senaraikan tadi. Sungguhpun rekaannya telah berubah, saya masih merasakan ia peranti skrin boleh-lipat paling lengkap di pasaran Malaysia sekarang. Kenapa saya katakan begini? Ini ulasan penuh Oppo Find N3.
SPESIFIKASI
Oppo Find N3 | |
---|---|
Skrin | Luar – 6.3″ AMOLED LTPO 120Hz Dalam – 7.8″ AMOLED LTPO 120Hz Dolby Vision |
Pemproses | Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 (4nm) |
Cip | 1 X 3.2 GHz Cortex X3 2 X 2.8 GHz Cortex A715 2 X 2.8 GHz Cortex A710 3 X 2.0 GHz Cortex 510 |
Cip Grafik | Adreno 740 |
RAM | 16GB LPDDR5X |
Muatan Dalaman | 512 GB UFS 4.0 |
Kamera Utama | 48MP, f/1.7 Sudut Lebar, OIS 48MP, f/2.2 Ultra Sudut Lebar 64MP, f/2.6 Telefoto, 3X Optikal, OIS |
Kamera Swafoto | Luar – 32MP f/2.4 Dalam – 20MP f/2.2 |
Bateri | 4800 mAh Pengecasan berwayar SuperVOOC 67W |
SIM/Telefoni | Nano/5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari sisi |
Harga Jualan | RM 7999 (16/512GB) |
SKRIN
Skrin luar kini lebih besar dan lebar 6.3″ AMOLED LTPO 120Hz serta Dolby Vision. Ia mempunyai nisbah yang sama seperti sebuah skrin candybar biasa yang memudahkan proses menaip dan menjalankan aplikasi seperti biasa. Oleh sebab itu sepanjang tempoh ulasan jarang sekali saya merasakan perlu membuka skrin dalaman. Ini hanya dilakukan apabila ingin menonton YouTube dan Netflix atau membaca laman web serta ebuku menerusi Play Books.
Skrin dalam pula 7.8″ AMOLED LTPO 120Hz juga dengan Dolby Vision. Kesan lipatan pada Find N3 adalah yang paling tidak ketara di antara kesemua peranti skrin boleh-lipat yang saya pernah ulas sebelum ini. Selepas seminggu digunakan saya masih sukar melihat kesan lipatan. Pernah juga beberapa kali saya hampir melipat skrin dari arah yang salah kerana alur lipatan yang tidak kelihatan ini.
Sebuah lubang kamera diletakkan pada bucu atas kanan. Kedudukannya sedikit sebanyak mengurangkan isu kandungan terhalang apabila menonton video atau menggunakan aplikasi. Kedua-dua skrin luar dan dalam Find N3 boleh mencapai tahap keterangan 2800 nits. Saya tiada isu menggunakan peranti di luar kerana semua boleh dilihat dengan jelas. Walaupun peranti belum dilancarkan, kandungan Dolby Vision Netflix boleh distrim tanpa isu.
Pujian saya berikan kepada skrin Find N3 kerana ia mungkin yang terbaik pernah saya gunakan pada sebuah peranti skrin boleh-lipat. Kandungan Dolby Vision misalnya nampak cukup sinematik. Sumber cahaya nampak sangat terang dan warna hitam pula legap seperti sepatutnya. Tiada perbezaan kualiti visual yang ketara dapat saya lihat antar skrin luar dan dalam pada Find N3. Ini berbeza sekali dengan semua peranti lain yang saya ulas di mana skrin dalaman semuanya lebih rendah tahap keterangannya.
BIOMETRI
Sistem biometri adalah dalam bentuk pengimbas cap jari terbina pada butang kuasa di sisi kanan dan imbasan wajah. Pengimbas cap jari sisi adalah pantas dengan kedudukannya mudah diakses dengan ibu jari. Saya hanya kecewa sistem imbasan bawah skrin seperti pada Vivo X Fold2 tidak digunakan pada Find N3 kerana kedua-dua syarikat ini di bawah payung BBK Electronics. Sistem imbasan wajah pula pantas tetapi hanya berfungsi dengan baik jika terdapat sumber cahaya yang terang.
REKAAN
Seperti saya kata di atas, N3 adalah lebih besar berbanding N2. Skrin luar lebih tinggi dan selari dengan saiz sebuah iPhone 15 Pro Max. Amat mudah menggunakan peranti dengan sebelah tangan dalam kedudukan skrin tertutup. Kerana nisbah skrin yang normal, menaip juga mudah sehingga jarang sekali saya rasakan perlu membuka skrin dalaman.
Terdapat butang laras audio, dan kuasa di sebelah kanan. Turut terletak pada sisi sama cuma pada pintu kiri peranti ialah butang lungsur untuk tetapan berdering, bergetar atau membisukan terus peranti. Inovasi OnePlus kini turut diberikan pada Find N3. Butang laras ini juga diberikan pada Find N3 Fip.
Terdapat tiga speaker pada N3. Dua pada bahagian atas dan satu di bahagian bawah. Sementara itu port pengecasan USB-C diletakkan di bawah. Oppo masih memberikan pemancar infra merah di bahagian atas. Walau bagaimanapun tubuh peranti tidak melepasi sebarang piawaian kalis air dan debu.
Peranti terasa ringan dan nipis kerana ia memang lebih ringan serta nipis jika dibandingkan dengan Z Fold5. Dalam keadaan tertutup ia setebal 11.7mm dan dibuka pula ia setebal 5.8mm. Tetapi ini tidak mengambil kira ketinggian bonggol kamera gergasi di bahagian belakang Find N3.
Ia besar kerana menempatkan kamera 48+48+64 MP dalam bonggol yang mirip dengan yang digunakan pada Find X6 Pro. Terdapat sistem kamera Hassleblad dengan logo “H” gergasi dipamerkan pada panel belakang. Pada peranti yang diulas panel belakang kaca digunakan tetapi saya difahamkan versi kulit vegan turut ditawarkan dalam waran hitam. Untuk kamera swafoto di depan ia sebesar 32MP dan di dalam pula sebesar 20MP.
Di dalam tangan peranti yang berkotak ini masih lagi selesa dipegang walaupun dengan bonggol kamera yang besar tadi. Tiada isu terasa seperti ia terlalu tajam sehingga sakit dipegang. Saya lebih gemarkan rekaan berkotak seperti ini. Engsel terasa cukup keras tanpa sebarang bunyi aneh didengari apabila dibuka atau ditutup. Oppp mengatakan engsel Flexion baharu ini boleh bertahan dibuka dan ditutup sehingga 1 juta kali.
PENGGUNAAN Dan PERISIAN
Sistem operasi ColorOS 13.2 berasaskan Android 13 digunakan pada Find N3. Sedikit kecewa sebenarnya ia tidak dilancarkan dengan Android 14 kerana ColorOS 14 hanya akan diumumkan pada November depan. Dari segi antaramuka ia tiada banyak bezanya dengan ColorOS 13 yang saya gunakan tahun ini. Tetapi terdapat beberapa ciri spesifik untuk skrin boleh-lipat.
Pertama sekali akhirnya wujud sokongan Taskbar seperti pada Z Fold4. Implemetasi sistem taskbar ColorOS 13 berbeza dengan One UI 5. Pertama sekali terdapat App Library dan File Pocket sentiasa pada hujung kiri Taskbar. Menerusi App Library akses kepada aplikasi untuk melancarkan lebih daripada satu aplikasi menerusi ciri Multi Windows dan Boundless View boleh dilakukan lebih pantas. File Pocket pula menyenaraikan semua fail dalam peranti yang kemudian boleh dipilih dan digunakan pada pelbagai aplikasi secara drag and drop.
Satu perbezaan pada taskbar ialah ia boleh menyokong singkatan pantas untuk empat aplikasi, satu App Library, satu File Pocket dan tiga aplikasi terakhir yang dibuka sahaja. Pada Z Fold5, tasbkar boleh digunakan untuk meletakkan pintasan pantas lapan aplikasi dan dua aplikasi terakhir dibuka.
Di atas saya ada menyentuh ciri Boundless View yang agak unik. Ia membolehkan tiga aplikasi dilancarkan serentak seakan pada sebuah skrin selepas 15″. Tidak seperti pada sistem tri-tingkap Samsung, Boundless View membolehkan tiga aplikasi tadi dilancarkan dalam saiz skrin penuh apabila diperlukan dan dikecilkan semula bila tidak diperlukan.
Tiga aplikasi juga boleh disusun dengan dua di atas dan satu di bawah dalam mod skrin penuh. Dengan Boundless View isu paparan aplikasi yang tirus/kecil tidak berlaku. Pengguna boleh menggabungkan tiga aplikasi kegemaran ke dalam mod Boundless View pada bila-bila masa dengan ia akan disimpan dalam ikon khas di muka depan aplikasi.
Secara lalai terdapat 16GB RAM LPDDR5X tetapi boleh ditambah sehingga ke 28GB menerusi ciri RAM Expansion. Pengalaman penggunaan dengan 16GB RAM sebenarnya sudah cukup lancar jadi saya matikan sahaja sepanjang tempoh ulasan. Pemasangan aplikasi juga pantas kerana Find N3 dilengkapi storan UFS 4.0.
Hasilnya ialah aplikasi boleh dilancarkan sekelip mata, lebih banyak aplikasi boleh dilancarkan serentak dan proses menukar aplikasi juga amatlah pantas. Tak ada perbezaan dengan Z Fold5 atau MIX Fold 3 yang juga telah saya cuba tahun ini.
Terdapat juga ciri FlexForm Mode yang membahagikan peranti kepada dua skrin apabila diletakkan dalam posisi huruf L. Dalam YouTube dan Netflix misalnya, skrin atas akan memaparkan kandungan video dan skrin bawah pula memaparkan antaramuka kawalan video. Dalam aplikasi pula skrin atas memaparkan viewfinder dan skrin bawah memaparkan pelbagai kawalan kamera.
Apa yang boleh saya katakan dari segi ciri, ColorOS 13.2 adalah sistem operasi yang baik kerana lancar serta mempunyai kesemua sokongan tablet yang diberikan menerusi Android 12L sebelum ini. Ia adalah sistem peranti skrin boleh-lipat yang setanding dengan yang ada pada Z Fold5 yang saya nobatkan sebagai sistem terbaik dalam kategori “foldable”. Malahan Boundless View pada Find N3 adalah lebih berguna untuk penggemar multi-tugas berbanding yang digunakan pada peranti Samsung sekarang.
PENANDA ARAS
Berikut adalah markah yang dicatatkan dalam ujian penanda aras Geekbench 6, Antutu 3D dan 3D Mark Wildlife Extreme. Walaupun menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 2 yang sama dengan Z Fold5, MIX Fold 3 dan X Fold2, markah yang dicatatkan adalah tidak setinggi tiga peranti boleh-lipat ini.
Geekbench 6
- Oppo Find N3 – 1537/4561
- Samsung Galaxy Z Fold5 – 1948/5373
- Xiaomi MIX Fold 3 – 1912/5111
- Vivo X Fold2 – 1854/5318
AnTuTu 3D
- Oppo Find N3 – 1,405,149
- Samsung Galaxy Z Fold5 – 1,597,608
- Xiaomi MIX Fold 3 – 1,511,456
- Vivo X Fold2 – 1,559,200
3DMark Wild Life Extreme
- Oppo Find N3 – 3654
- Samsung Galaxy Z Fold5 – 2929
- Xiaomi MIX Fold 3 – N/A
- Vivo X Fold2 – 3727
Tetapi prestasi penggunaan sebenar adalah sama sahaja dengan boleh saya katakan tiada perbezaan langsung dengan peranti yang mencatatkan markah lebih tinggi. RAM dan storan pantas membolehkan pelbagai aplikasi dilancarkan dengan pantas. Prestasi aplikasi biasa adalah juga pantas serta memuaskan. Tidak ada yang boleh saya rungutkan mengenai Find N3.
Prestasi permua juga setanding dengan peranti yang dilengkapi cip Snapdragon 8 Gen 2 yang lain. Tidak ada isu pemanasan, boleh dimainkan pada tetapan grafik paling tinggi dan pada kadar bingkai paling tinggi. Permua seperti COD Mobile boleh dimainkan pada skrin luar dan dalam tanpa sebarang isu langsung.
TELEFONI Dan GPS
Pada rangkaian Digi yang saya langgan semuanya beroperasi dengan baik. Panggilan suara adalah jelas dan terang lebih-lebih lagi menerusi VoLTE dan VoWiFi .Prestasi WiFi turut cemerlang kerana menyokong WiFi 6E. Jika anda melanggan kepada perkhidmatan internet ultra pantas, anda boleh menikmatinya pada kelajuan tertinggi menggunakan Find N3.
Prestasi GPS turut tidak mengecewakan. Lokasi kenderaan dikesan dalam masa kurang dua saat. Jika simpang yang salah diambil, lokasi baharu boleh dikesan semula dalam masa sesaat. Tidak timbul isu tersesat atau lokasi tidak dapat dijejak apabila digunakan di tengah-tengah Kuala Lumpur.
KAMERA
Berikut adalah sampel gambar yang berjaya diambil menggunakan Find N3 dalam tempoh sekitar seminggu saya mengulasnya. Dalam situasi gelap atau terang gambar yang diambil adalah amat memuaskan seperti yang dapat anda lihat sendiri di bawah.
Tidak banyak sampel gambar boleh diambil kerana keadaan jerebu sejak tiga minggu lalu membuatkan kebanyakan gambar yang diambil nampak kelabu dan tidak bermaya. Ini bukan isu kamera tetapi isu cuaca. Hanya di Singapura langit nampak lebih cerah dan gambar-gambar bawah boleh diambil.
Sistem kamera XPan diberikan pada kamera belakang sahaja. Ini adalah mod yang saya cukup suka pada peranti Oppo dan gembira ia kembali pada Find N3. Gambar yang lebih lebar dalam mod XPan nampak sungguh sinematik.
BATERI
Bateri sebesar 4800 mAh yang digunakan mampu bertahan sehingga 11 jam dengan SOT sekitar 9 jam pada penggunaan yang berat. Ia meningkat ke 16 jam dengan SOT sekitar 7.5 jam pada penggunaan yang lebih ringan. Prestasi bateri yang sederhana sahaja tetapi dibantu oleh pengecasan 67W SuperVOOC yang boleh mengecas semula bateri dalam masa sekitar 50 minit. Pengecas ini bersama kabel diberikan sekali dengan setiap pembelian. Kekurangan hanyalah tiada sokongan pengecasan nirwayar.
AUDIO
Tiga speaker pada Find N3 menjadikannya telefon skrin boleh-lipat dengan sistem audio terbaik pernah saya gunakan. Audio yang dihasilkan adalah seimbang serta dinamik. Tidak terasa rompong walaupun pada tetapan rendah. Pada kelantangan tinggi pula ia tidak pecah. Sistem Dolby Atmos boleh digunakan pada speaker fizikal dan aksesori bluetooth yang ditambat. Apabila menonton filem, suara kedengaran jelas dan tidak terbenam dengan bunyi persekitaran. Kekurangan hanyalah tiada bicu audio tetapi ini adalah kelaziman pada peranti Android mercu sekarang.
PESAING
Oppo Find N3 | Samsung Galaxy Z Fold5 | Honor Magic Vs |
Luar – 6.2″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz Dalam – 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, HDR10+ | Luar – 6.2″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz Dalam – 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, HDR10+ | Luar – 6.45″ OLED, 120Hz Dalam – 7.9″ OLED, 90Hz, HDR10+ |
Snapdragon 8 Gen 2 (4nm) 1 X 3.2 GHz Cortex X3 2 X 2.8 GHz Cortex A715 2 X 2.8 GHz Cortex A710 3 X 2.0 GHz Cortex 510 | Snapdragon 8 Gen 2 (4nm) 1 X 3.36 GHz Cortex X3 2 X 2.8 GHz Cortex A715 2 X 2.8 GHz Cortex A710 3 X 2.0 GHz Cortex 510 | Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) 1 X 3.19 GHz Cortex X2 3 X 2.75 GHz Cortex A710 4 X 1.8 GHz Cortex 510 |
Adreno 740 | Adreno 740 | Adreno 730 |
12 GB LPDRR5X | 12 GB LPDRR5X | 12 GB LPDRR5 |
256/512/1000 GB UFS 4.0 | 256/512/1000 GB UFS 4.0 | 512 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama 48MP, f/1.7 Sudut Lebar, OIS 64MP, f/2.6 Telefoto, 3X Zum Optikal, OIS 48MP, f/2.2 Ultra Sudut Lebar | Kamera Utama 50MP, f/1.8 Sudut Lebar, OIS 10MP, f/2.2 Telefoto, 3X Zum Optikal, OIS 12MP, f/2.4 Ultra Sudut Lebar | Kamera Utama 54MP, f/1.9 Sudut Lebar, OIS 8MP, f/2.4 Telefoto, 3X Zum Optikal, OIS 50MP, f/2.0 Ultra Sudut Lebar |
Kamera Hadapan 32-MP f/2.4 20-MP f/2.2 (Dalam) | Kamera Hadapan 10-MP f/2.2 4-MP f/1.8 (UDC) | Kamera Hadapan 16-MP f/2.6 16-MP f/2.6 |
Tiada | IPX8 | Tidak kalis air |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
4800 mAh (Berwayar 67W) | 4400 mAh (Berwayar 25W) | 5000 mAh (Berwayar 66W) |
RM 7999 (16/512GB) | RM 6799 (12/256GB) RM 7299 (12/512GB) RM 8299 (12/1000GB) | Harga RM 5999 |
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.
- 1x Oppo Find N3
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Pengecas SuperVOOC 67W.
- 1x Pin SIM.
- 1x Set kerangka
KESIMPULAN
Oppo Find N3 ialah peranti skrin boleh-lipat terbaik yang saya pernah ulas setakat ini kerana skrin yang cukup terang tanpa kesan lipatan ketara, skrin luar mudah digunakan, perisian yang lengkap, ciri boleh-lipat yang memuaskan, kamera terbaik dalam kategorinya dan audio juga terbaik dalam kategorinya. Ia adalah peranti skrin boleh-lipat paling lengkap setakat ini pada hemat saya.
Kekurangannya masih ada seperti tiada sebarang piawaian kalis air serta debu dan hayat bateri yang tidak sebaik Honor Magic Vs. Tetapi semua kekurangan ini adalah kecil jika melihat kepada kelebihan yang ada pada Find N3 berbanding pesaing.
Pada harga RM7999 sebuah ia memang agak mahal jika dibandingkan dengan Z Fold5 dan Magic Vs yang dilancarkan tahun ini. Namun begitu seperti saya katakan tadi Find N3 mempunyai beberapa ciri yang lebih baik berbanding pesaingnya. Berbaloi atau tidak adalah di tangan pembeli. Saya hanya boleh katakan setakat ini, Find N3 ialah peranti yang terbaik dalam kategori skrin boleh-lipat setakat ini.
Pro
- Spesifikasi mercu.
- Prestasi yang amat memuaskan dalam segala situasi.
- Kamera terbaik pada peranti skrin boleh-lipat.
- Skrin terbaik pada peranti skrin boleh-lipat dengan Dolby Vision.
- Rekaan lebih nipis dengan kesan lipatan tidak ketara.
- Pengecasan yang pantas.
Kontra
- Tidak kalis air atau debu.
- Harga agak mahal.
- Tiada pengecasan nirwayar.
- Prestasi bateri sederhana.