Carian
Google Gemini 2.0 Kini Boleh Diuji Dalam Aplikasi Gemini Android
December 17, 2024 Fahim Zahar

Minggu lepas Google telah mengumumkan Gemini 2.0, iaitu model bahasa raya baharu mereka yang menyokong multi-modal. Ia kini membolehkan penjanaan terus imej serta audio, dan pada masa yang sama membolehkan pembangunan ejen AI di atasnya. Model pertama di bawahnya adalah Gemini 2.0 Flash dan ia kini boleh diakses oleh pengguna umum melalui aplikasi Android.

Dalam kemas kini aplikasi Google versi beta 15.50, ia kini memberi pengguna aplikasi Gemini pada peranti Android untuk memilih model bahasa raya yang ingin digunakan. Ia tidak lagi terhad kepada satu. Dalam kemas kini ini, saya menemui tiga pilihan model iaitu 1.5 Pro (untuk tugasan kompleks), 1.5 Flash (untuk bantuan harian, pantas), dan 2.0 Flash Experimental (ujian model eksperimen).

Gemini Flash 2.0 Experimental vs Gemini 1.5 Flash

Dalam cubaan saya, apabila memilih 2.0 Flash Experimental ia akan memberi notis yang model ini mungkin tidak akan berfungsi seperti yang dijangka. Menurut Google, model 2.0 Flash ini adalah 2x lebih pantas berbanding 1.5 Pro. Perbandingan saya bertanyakan soalan Siapa Amanz Media dan siapakah pengasasnya? memperlihatkan 2.0 Flash sekitar 1.5 saat lebih pantas berbanding 1.5 Pro. Bukan itu sahaja, model ini turut menjana lebih banyak maklumat berguna berbanding model Pro yang hanya memberi ringkasan maklumat.

Saya turut membandingkan bersama model 1.5 Flash dan ia turut mempunyai prestasi lebih kurang sama iaitu model 2.0 Flash adalah sekitar 1.5 saat lebih pantas. Buat masa ini, penggunaan model baharu terhad kepada ciri memberi arahan suara, memuat naik gambar dan berbual sahaja. Ciri memuat naik fail masih tidak disokong. Sokongan pada aplikasi iOS masih tidak diketahui lagi. Akan datang, Gemini 2.0 turut boleh menjalankan kod, melakukan carian, dan integrasi API lain.

Komen