Google DeepMind pagi ini mengumumkan dua lagi model kecerdasan buatan (AI)generatif baharu iaitu Veo 2 yang boleh menjana video dan Imagen 3 yang boleh menjana imej. Veo 2 boleh menjana video sehingga 2 minit pada resolusi 4K. Bagi mengelakkan penyalahgunaan, semua video yang dijana Veo 2 akan mempunyai tera air SynthID yang tidak dapat dilihat manusia tetapi boleh dikesan oleh komputer.
Antara penambahbaikan pada Veo 2 ialah menghilangkan isu video yang kelihatan aneh seperti jari berlebihan dan objek yang kelihatan tidak masuk akal. Imagen 3 pula boleh menjana gambar yang kelihatan lebih realistik dalam pelbagai gaya berbanding model-model Imagen terdahulu.
Veo 2 sudah boleh digunakan oleh pengguna terpilih menerusi perkhidmatan VideoFX. Pengguna lain perlu memasuki senarai menunggu untuk mencubanya. Sementara itu Imagen 3 pula sudah boleh digunakan menerusi ImageFX di 100 negara bermula hari ini.