Harga Galium Meningkat Ke Tahap Tertinggi Sejak 2011 Selepas Sekatan Eksport Oleh China
Effi Saharudin
China mengharamkan eksport galium, antomoni dan germanium ke Amerika Syarikat awal bulan ini sebagai balasan kepada halangan yang dikenakan negara tersebut ke atas negara mereka. Kesemuanya adalah bahan mentah yang diperlukan oleh industri semikonduktor, bateri dan juga teknologi senjata. Menurut laporan Bloomberg, harga galium kini mencapai tahap tertinggi sejak 2011.

Seminggu selepas sekatan dikenakan, harga galium mencecah $595 (~RM 2645) sekilogram. Ini dipacu oleh pembelian pukal oleh rantaian bekalan yang ingin memastikan galium boleh dibeli sebelum harga semakin meningkat naik. China mengawal 94% pasaran galium global dan tindakan mereka ini akan mendatangkan impak kepada industri semikonduktor sepanjang 2025.
Sumber alternatif wujud tetapi akan memerlukan masa bertahun-tahun sebelum dapat memenuhi keperluan pasaran. Pelbagai sekatan yang dikenakan Amerika Syarikat ke atas China ialah bagi membendung China daripada menjadi kuasa besar teknologi dalam jangka masa terdekat.