China telah mengharamkan eksport galium, antimoni, germanium dan bahan super keras ke Amerika Syarikat sebagai membalas halangan jualan HBM dan alatan penghasilan memori yang diumumkan A.S hari ini. Turut akan dikenakan sekatan lebih ketat untuk jualan produk dua kegunaan seperti grafit.
Menurut Kementerian Perdagangan China, ini adalah bagi mengelakkan penggunaan kesemua bahan eksport ini bagi tujuan ketenteraan oleh Amerika Syarikat. Ini ialah alasan yang diberikan Amerika Syarikat untuk menghalang jualan cip kecerdasan buatan (AI) dan akses kepada teknologi cip terkini kepada syarikat China.
Menerusi halangan eksport galian ini, ia akan mendatangkan impak kepada sektor semikonduktor, aeroangkasa, pengeluaran bateri EV dan ketenteraan Amerika Syarikat dalam masa terdekat. China memegang 48% pengeluaran antimoni global pada tahun lalu. Selain digunakan pada EV, logam ini juga digunakan dalam peluru, peluru berpandu, dan senjata nuklear.