Carian
OnePlus 13 Memasuki Pasaran Global Pada 7 Januari 2025
December 18, 2024 Amy Maizuraa

OnePlus 13 bakal memasuki pasaran global dengan pelancaran yang dijadualkan pada 7 Januari 2025.Perkara itu disahkan oleh pihak OnePlus menerusi ciapan terkini yang dimuat naik dalam X sejak semalam. Selain itu, kita turut boleh menjangkakan kemunculan untuk pasaran Malaysia apabila peranti didapati telah melepasi pengesahan SIRIM sejak Oktober lalu.

Untuk rekod, telefon pintar mercu baharu ini telah dilancarkan di China terlebih dahulu. Ia dilengkapi skrin 6.82″ AMOLED 2K, kadar segar semula 120Hz LTPO, keterangan skrin sehingga 4500 nit dan sokongan Dolby Vision. Selain itu dipadankan dengan cip mercu Snapdragon 8 Elite, memori sehingga 24GB LPDDR5X RAM, storan sehingga 1TB UFS 4.0 dan bateri 6000 mAh.

Bateri ini menyokong pengecasan pantas 100W secara berwayar, dan 50W secara nirwayar. Dalam masa sama terdapatnya kamera utama 50MP Sony LYT-808, ultra sudut lebar 50MP dan lensa periskop 50MP LYT600 dengan sistem Hasselblad. Kamera swafoto pula ialah 32MP Sony IMX615. Tubuh peranti juga melepas piawaian IP69 dan terdapat butang lungsur pada sisi kiri untuk membisukan notifikasi pada peranti.

Masih belum dapat dipastikan sama ada variasi global akan dilengkapi spesifikasi yang sama atau sebaliknya. Kesemua persoalan hanya akan terjawab sewaktu pelancaran rasmi termasuk mengenai penawaran harga jualan.

Komen