Apa yang membuatkan saya kurang suka dengan Instagram ialah aplikasi kamera terbinanya tidak memanfaatkan kemampuan aplikasi kamera peranti. Sokongan mod malam, mod potret atau zum jauh tidak boleh digunakan dan membuatkan hasil gambar kelihatan biasa sahaja. Perkara ini berubah secara berperingkat tahun ini.
Bulan Oktober lepas, Google Pixel 6 dan ke atas mula menerima kemas kini Instagram baharu di mana mod malam Pixel iaitu Night Sight boleh digunakan terus di dalam aplikasi Instagram. Terbaru, sokongan sama diperkenalkan untuk Samsung Galaxy S24 Ultra, Galaxy Z Flip6 dan Galaxy Z Fold6. Ciri ini akan diaktifkan apabila suasana gelap dikesan dan pengguna boleh menekan ikon bulan yang terpapar.
Ciri ini sebenarnya sudah lama dibangunkan Google melalui API kamera mereka tersendiri. Namun, tidak ramai pengeluar ingin menggunakannya sehinggalah baru-baru ini dengan 120 peranti berbeza dengan 75 juta pengguna aktif. API kamera Google ini tidak terhad kepada mod malam sahaja kerana jika pembangun mahukan aplikasi kamera mereka turut boleh memanfaatkan ciri bokeh, mod kecantikan dan HDR.
Akan datang pada Android 16, ciri mod malam ini akan dipertingkatkan lagi dengan boleh memberitahu pengguna keadaan cahaya yang tidak sesuai. Kemudian pengguna turut boleh terus tekan Off atau On untuk menggunakannya.