Teknologi Heat Assisted Magnetic Recording, atau lebih dikenali sebagai HAMR ialah sebuah teknologi merakam data digital yang cuba dibangunkan sejak tahun 1954 untuk menggunakan haba untuk meningkatkan jumlah storan digital yang boleh terkandung dalam sebuah cakera keras.
Teknologi ini telah dibangunkan sekian lamanya oleh Seagate, dan pada tahun lepas, telah memperlihatkan platform storan Mozaic 3+ pada tahun lepas, yang secar ringkasnya membolehkan mereka memuatkan storan yang lebih banyak pada setiap lapisan cakera keras.
Terkini, Seagate telah memperkenalkan penawaran cakera keras terbaru mereka yang dinamakan Seagate Exos M yang tampil dengan pilihan storan sebesar 30TB dan juga 32TB. Buat masa ini, kelajuan pembacaan dan penulisan data tidak diumumkan lagi, tetapi ia hadir dengan saiz dan sambungan sama seperti cakera keras biasa yang menggunakan sambungan SATA III dan rekabentuk 3.5 inci sama seperti cakera-cakera keras lain.
Cakera keras Seagate Exos X yang dilancarkan sebelum ini hadir dengan antaramuka berbeza yang menjadikannya sukar untuk digunakan pada banyak komputer dan pusat data sedia ada.
Cakera keras ini juga dilaporkan hadir dengan nilai MTBF (mean time before failure) setinggi 2.5 juta jam dan memperlihatkan penggunaan tenaga elektrik 45 peratus lebih rendah untuk setiap 1TB data yang dibaca dan ditulis.
Kelajuan storan Seagate Exos M ini tidak diperlihatkan tetapi berkemungkinan besar ia masih lagi berada sekitar 600MB/s. Ini cukup sesuai untuk penggunaan di pusat-pusat data yang memerlukan jumlah storan yang banyak, tetapi pada kos yang tidak terlalu mahal dan tidak memerlukan akses kepadanya sepanjang masa.