Carian
Microsoft Menambah Ciri-Ciri AI Baru Untuk Diuji Pada Komputer Riba CoPilot+ AMD Dan Intel
December 19, 2024 Nazrin

Sebelum ini kami telah melaporkan bahawa Microsoft telah mula memperkenalkan ciri-ciri AI seperti Recall pada komputer-komputer riba CoPilot+ yang dikuasakan cip pemprosesan AMD dan Intel untuk diuji melalui program Windows Insider mereka.

Terkini, Microsoft nampaknya telah menambahkan lagi beberapa ciri-ciri AI baru untuk diuji dalam versi Dev Channel terbaru mereka. Melalui kemaskini Windows 11 Build 26120.2705, Microsoft telah menambah ciri terjemahan secara langsung dan sarikata untuk komputer-komputer riba tersebut.

Kemaskini yang sama juga dilihat memperbaiki prestasi ciri-ciri tersebut pada komputer riba CoPilot+ yang dikuasakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X, termasuklah pengenalan kebolehan untuk menterjemah video dari bahasa-bahasa yang sudah sedia disokong seperti bahasa Arab, Inggeris, Perancis, Itali, Jerman, Jepun dan sebagainya ke bahasa Cina (Chinese Simplified).

Microsoft juga menasihati penguji-penguji sistem operasi Windows 11 untuk memuat-turun perisian pemandu terbaru melalui laman web mereka sebelum mengemaskini sistem operasi tersebut untuk memastikan mereka boleh menggunakan komputer mereka tanpa banyak masalah.

Beberapa isu sedia ada berkenaan ciri-ciri yang sedang diuji juga telah dikenalpasti, dan Microsoft mengatakan bahawa ia akan diperbaiki dalam kemaskini di masa akan datang.

Komen