Barry Wilmore dan Sunita William ialah dua angkasawan NASA yang dilancarkan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menggunakan kapal angkasa Starliner pada 6 Jun lalu. Menurut perancangan asal, misi ini sepatutnya hanya sepanjang 8 hari. Tetapi pelbagai isu pada Starliner, NASA mengesahkan dua angkasawan ini tidak akan kembali ke bumi sebelum Februari 2025 menyebabkan mereka “tersadai” di ISS.
NASA mengatakan tarikh kepulangan Wilmore dan William kini diubah ke lewat Mac 2025 pula. Ini kerana kelewatan kapsul SpaceX Crew-10 menyebabkan pelancaran misi ini ditangguh sebulan bagi memastikan ia selamat digunakan. Wilmore dan Sunita hanya akan kembali ke bumi selepas keempat-empat krew Crew-10 tiba di ISS.
Kapal angkasa Boeing Starliner ialah salah satu lagi kenderaan yang digunakan oleh NASA untuk menghantar krew ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selepas Space Shuttle berhenti beroperasi hampir sedekad lalu. Selain Starliner, Amerika Syarikat juga menggunakan kapsul SpaceX Crew Dragon untuk membawa angkasawan dan bekalan ke ISS.
Program ini menghadapi pelbagai masalah sehingga menyebabkan Boeing kerugian sekitar $1.5 bilion. Oleh sebab itu Boeing dilaporkan ingin menjual perniagaan aeroangkasa mereka bagi sebagai langkah mengurangkan kos operasi syarikat.