Pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 akan dimulakan semula tahun depan menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke. Syarikat Ocean Infinity sekali lagi akan melakukan percubaan mencari lokasi akhir Boeing 777 yang dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014 dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal. Ketika hilang, pesawat dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Ocean Infinity telahpun terlibat dalam dua carian sebelum ini tetapi gagal menemukan pesawat. Kontrak yang ditandatangani ini ialah selama 18 bulan dengan kawasan carian adalah seluas 15,000 kilometer persegi. Lokasi baharu carian akan dilakukan tidak pula diberikan oleh Ocean Infinity. Mereka hanya akan menerima bayaran $70 juta (~RM 314 juta) sekiranya berjaya menemukan bangkai pesawat
Kehilangan pesawat MH370 menjadi antara misteri terbesar industri penerbangan yang meletakkan sebaris dengan kehilangan pesawat Amelia Earhart pada tahun 1937. Walaupun misteri MH370 masih belum dirungkai, ia sudahpun membawakan perubahan besar dalam industri dengan penggunaan sistem pengesanan kedudukan menggunakan satelit kini standard oleh majoriti syarikat penerbangan dunia.