Lima tahun lalu WhatsApp memfailkan saman ke atas NSO Group yang berpangkalan di Israel kerana membangunkan perisian intipan Pegasus. Pegasus telah digunakan untuk mengintip telefon milik wartawan, ahli politik, anggota NGO dan sesiapa sahaja yang dilihat memberikan tentangan kepada rejim yang membeli Pegasus. Mangsa Pegasus yang paling terkena ialah Jamal Kashoggi yang kemudiannya dibunuh oleh agensi risikan Arab Saudi.
Kini NSO Group didapati bertanggungjawab dalam tuntutan mahkamah yang difailkan oleh WhatsApp. Ia melanggar Akta Penipuan dan Penyalahgunaan Komputer, Akta Akses Data dan Penipuan Komputer Komprehensif California, dan melanggar kontrak.
Sebelum ini NSO Group menggunakan alasan mereka tidak bertanggungjawab sekiranya perisian mereka disalahgunakan oleh pelanggan. Tetapi seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, kerajaan Israel campur tangan dalam penjualan Pegasus kepada kerajaan Arab Saudi walaupun terdapat risiko ia disalahgunakan bagi tujuan mengintip individu.
Kes akan diteruskan Mac tahun depan dengan WhatsApp akan meminta bayaran ganti rugi bagi pihak 1400 pengguna perisian mereka yang terkesan disebabkan oleh intipan Pegasus.