Arm menyaman Qualcomm pada tahun 2022 kerana didakwa menggunakan kadar bayaran royalti lebih rendah dalam rekaan CPU Oryon yang dibangunkan oleh Nuvia. Selepas perbicaraan selama seminggu, Qualcomm didapati tidak melanggar perjanjian pelesenan yang dipersetujui antara kedua-dua syarikat.
Kadar bayaran royalti lesen ARM yang dibayar oleh Nuvia adalah lebih tinggi. Qualcomm mengambil alih Nuvia pada tahun 2021 dan CPU Oryon dibangunkan menggunakan bayaran lesen yang lebih rendah sehingga mengurangkan pendapatan Arm sehingga $30 juta.
Juri mendapati Qualcomm tidak bersalah tetapi tidak dapat memberikan keputusan sebulat suara sama ada Nuvia melanggar perjanjian dengan Arm. Dengan keputusan ini, Qualcomm boleh terus menggunakan Oryon pada siri cip Snapdragon X dan Snapdragon 8 Elite. Masa depan kedua-dua cip sedikit kelam selepas Arm membatalkan lesen Qualcomm pada Oktober lalu. Sekiranya didapati bersalah, Arm meminta rekaan cip Oryon dimusnahkan.
Keputusan ini walau bagaimanapun membuka pintu kepada Arm untuk memfailkan semula kes saman di masa hadapan bagi menyelesaikan kes saman ini sepenuhnya.