Proton e.MAS7 Telah Menerima Lebih 2500 Tempahan Buat Masa Ini
Aman
PRO-NET, syarikat subsidiari Proton hari ini berkongsi mengatakan kenderaan elektrik pertama mereka, Proton e.MAS7 telah menerima sejumlah 2,500 tempahan buat masa ini.

Proton e.MAS7 telah dilancarkan pada pertengahan bulan Disember 2024 ini, dan ditawarkan dalam dua variasi, pada harga bermula RM109,800. Untuk 3000 pembeli terawal, rebat sebanyak RM4000 diberikan atas harga pembelian, disamping pembelian kereta ini turut hadir dengan sejumlah penawaran – termasuk akses internet tanpa had selama 5 tahun, dan jaminan kenderaan tanpa jarak pemanduan selama 6 tahun, serta jaminan bateri untuk 8 tahun atau jarak perjalanan 160,000km.
Pihak Proton turut mengatakan sambutan pengguna terhadap kereta elektrik dilihat sangat mengalakkan, sekaligus memperlihatkan ketersediaan peralihan pasaran kepada kenderaan elektrik.
Proton e.MAS7 ditawarkan pada harga RM109,800 untuk versi Prime, sementara versi Premium pula ditawarkan pada harga RM123,800. Tempahan boleh dilakukan melalui 30 pengedar e.MAS seluruh negara, atau melalui laman rasmi Proton e.MAS hari ini.