Kebanyakan ciri kecerdasan buatan generatif yang ada pada peranti Android sekarang banyak bergantung kepada pemprosesan di awanan. Ini berbeza dengan apa yang Apple tawarkan melalui Apple Intelligence yang memfokuskan kepada pemprosesan dari dalam peranti. Perkara ini turut akan berubah untuk peranti Samsung baharu.
Menurut @AssembleDebug di X, siri Samsung Galaxy S25 kelak akan turut memfokuskan pemprosesan ciri AI generatif terus dari dalam peranti. Samsung dikatakan tidak ingin terlalu bergantung kepada pemprosesan awanan, lagi-lagi apabila peranti dijana dengan cip Snapdragon 8 Elite yang terbukti cukup berkuasa. Ini turut bermakna, pengguna perlu memuat turun sejumlah data terlebih dahulu.
Tambahan sumber lagi, tiga ciri utama iaitu menjana imej latar, pemadam ajaib dalam aplikasi album gambar dan ciri AI generatif lain telah ditemui dalam kod pembangunan perisian Samsung. Kemampuan ini turut dikatakan terhad untuk peranti Samsung dengan cip Snapdragon dan bukan Exynos atau MediaTek. Samsung juga dijangka akan menggunakan model bahasa raya (LLM) tersendiri kerana Gemini Nano dan API Gemini lain yang terhad.
Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut. Pelancaran siri Galaxy S25 dijangka akan berlaku pada hujung Januari 2025, tidak sampai sebulan dari hari ini.