Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengatakan syarikat teknologi global perlu membayar premium untuk mengakses bekalan tenaga elektrik dan air bagi pusat data di Malaysia dalam temu ramah bersama Financial Times. Permintaan yang meningkat untuk pusat data dan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia memberikan tekanan kepada sumber sedia ada.
Malaysia telah menarik lebih daripada $16 bilion dalam komitmen pelaburan daripada syarikat seperti Amazon, Nvidia, Google, Microsoft, dan ByteDance untuk pembangunan pusat data sejak dua tahun lalu. Menurut Nik Nazmi lagi, kerajaan menjadi lebih selektif dalam menerima pusat data baru kerana tekanan yang diberikan kepada sumber tenaga dan air negara.
Johor kini mempunyai 22 pusat data dengan 8 lagi dalam proses pembinaan. Bagi menyokong keperluan tenaga ini, Johor akan menggandakan pengeluaran tenaga ke 2.7 gigawatt menjelang 2027 supaya boleh menyokong sehingga 90 pusat data di masa depan.
Pengumuman pembinaan pusat-pusat data menerima reaksi negatif di Malaysia khususnya daripada kumpulan pencinta alam selepas melihat impaknya di Amerika Syarikat. Selain penggunaan sumber yang tinggi, pencemaran bunyi daripada sistem penyejukan juga menjadi isu berbangkit.
Antara jalan penyelesaian diambil oleh Amazon, dan Google ialah melakukan pelaburan untuk membangunkan stesen janakuasa nuklear modular. Microsoft pula mula membina pusat data dengan sistem penyejukan yang menggunakan kitaran air tertutup yang dikitar semula.