Qualcomm hari ini memperkenalkan variasi cip pemprosesan baharu menyasarkan komputer riba dan juga desktop, dinamakan Snapdragon X. Cip baharu ini dilihat merupakan versi berspesifikasi lebih rendah berbanding versi Snapdragon X Plus dan X Elite sebelum ini.
Qualcomm menyasarkan peranti dengan Snapdragon X ini akan digunakan oleh para pelajar, pekerja yang memerlukan komputer riba asas, selain untuk pengguna yang memerlukan peranti pada bajet rendah.
Snapdragon X hadir dengan rekaan lapan-teras dengan kadar kelajuan maksima pada 3Ghz. Cip ini hadir dengan binaan 4nm, serta menawarkan prestasi AI pada 45 TOPS. Cip ini juga menjanjikan masa penggunaan tenaga bateri yang efisien dan lama, membolehkan pengguna menggunakan peranti bagi tempoh masa lebih panjang. Qualcomm mengatakan cip Snapdragon X ini lebih baik berbanding cip Intel Core 5 120U.
Qualcomm menyasarkan peranti menggunakan cip Snapdragon X ini bakal dipasarkan pengeluar seperti Acer, Asus dan Lenovo dalam masa terdekat ini.