Dua tahun lepas, NVIDIA ACE diperkenalkan sebagai teknologi AI generatif yang boleh memberi kehidupan kepada watak NPC dalam permainan video. Terbaru, Krafton dengan permainan popular mereka iaitu PUBG memperkenalkan PUBG Ally yang dikuasakan ACE.
PUBG Ally adalah NPC yang akan menjadi pembantu kepada pemain sebenar. Pemain boleh berinteraksi dengan Ally seperti seorang rakan yang menjadi sandaran dalam pertempuran permainan. Pemain boleh meminta Ally mencarikan peluru, perisai, kenderaan dan lain-lain. Ally turut boleh secara automatik memberi perlindungan kepada pemain jika ada misi penting sedang dijalankan.
Dengan inovasi baharu ini, tiada lagi istilah NPC kerana watak yang tidak boleh dimainkan kini menjadi CPC iaitu Co-Playable Character. PUBG Ally yang dikuasakan NVIDIA ACE ini turut menggunakan model bahasa raya Mistral-Nemo-Minitron-8B-128k-instruct.
PUBG Ally akan tiba dalam permainan bermula pada tahun ini. Tidak pasti jika ia akan terhad pada PUBG untuk PC dengan kad grafik NVIDIA RTX Blackwell sahaja atau turut akan tiba ke PUBG Mobile dengan cip Snapdragon 8 Elite berasaskan CPU Oryon.