Acer hari ini telah mengumumkan sejumlah produk baru bersempena acara CES 2025 yang sedang berlangsung di Las Vegas. Terutama ialah siri komputer riba gaming Predator Helios mereka, dimana mereka telah memperlihatkan tiga buah model baru, termasuklah Predator Helios 16 AI, Predator Helios 18 AI dan Predator Helios Neo 16S AI.
Bermula dengan siri komputer riba Predator Helios 16 AI dan Helios 18 AI, kedua-dua komputer riba ini tampil dengan paparan skrin bersaiz 16 dan 18 inci, dan hadir dengan pilihan panel OLED ataupun Mini LED. Predator Helios 16 AI dimuatkan dengan paparan skrin OLED WQXGA (2560×1600) dengan kadar segar semula 240Hz, manakala Predator Helios 18 AI akan hadir dengan panel dengan kadar segar semula 120Hz dan nilai kecerahan 1000 nit.
Komputer riba Predator Helios 16 AI boleh dimuatkan dengan memori LPDDR5X sebanyak 64GB dan storan SSD PCIe 5.0 4TB, manakala model yang lebih besar menyokong penawaran memori sebanyak 192GB dan storan SSD sebesar 6TB.
Dari segi CPU, kedua-dua komputer riba ini menggunakan cip pemprosesan Intel Arrow Lake H dan HX, dengan pilihan sehingga Intel Core Ultra 9 275HX dengan gabungan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5000, sehingga model GPU NVIDIA GeForce RTX 5090, kad grafik komputer riba paling berkuasa yang akan dilancarkan kelak.
Kedua-dua komputer riba ini akan menggunakan kipas penyejukan Aeroblade 3D generasi ke-6 dengan ketebalan bilah kipas senipis 0.05mm. Kipas ini dikatakan mampu mengalirkan 20 peratus lebih banyak udara berbanding dengan kipas-kipas plastik yang digunakan untuk menyejukkan komponen dalam komputer riba.
Model baru dalam siri Predator Helios ialah komputer riba Predator Helios Neo 16S AI yang hadir dengan rekaan yang lebih padat, tetapi masih lagi mempunyai kuasa perkomputeran yang sangat berkuasa. Dari segi spesifikasi, ia menggunakan cip pemprosesan Intel Core Ultra 9 275HX dengan memori LPDDR5X 32GB dan juga storan SSD 2TB. Dari segi kad grafik, ia akan menggunakan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5070 Ti yang juga sangat berkuasa.
Kesemua komputer riba Predator Helios 16 Ai, 18 AI dan Helios Neo 16S AI ini akan ditawarkan di pasaran-pasaran terpilih sekitar pertengahan tahun ini. Untuk pasaran Malaysia, kita mungkin akan mengetahui butiran lebih lanjut mengenainya pada hujung minggu ini sewaktu acara Predator League.