Carian
OnePlus 13 Kini Rasmi Dengan Harga RM4,399
January 8, 2025 Fahim Zahar

Malam ini, siri OnePlus 13 dilancarkan secara rasmi untuk pasaran global selepas beberapa bulan ditawarkan untuk pasaran China. OnePlus 13 adalah peranti yang disahkan tiba ke pasaran Malaysia.

Seperti sebelum ini, OnePlus 13 kekal dengan skrin 6.82-inci LTPO 4.1 OLED 120Hz. Ia turut menyokong paparan ProXDR, Dolby Vision, resolusi QHD+ dan dilindungi dengan Ceramic Guard. Peranti dijana dengan cip Snapdragon 8 Elite dan dipadankan dengan memori 16GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman 512GB UFS 4.0.

Kamera peranti adalah 50+50+50 Megapixel Hasselblad dengan OIS dan zum optikal 3x. Ciri potret Hasselblad, mod X-Pan dan kawalan manual masih dikekalkan. Peranti turut didatangkan dengan speaker stereo OReality Audio dan untuk sekuriti pula adalah pengimbas cap jari ultrasonik. Perlindungan peranti pula kini mencapai IP68 dan IP69.

OnePlus 13 turut menggunakan bateri 6000mAh dengan rekaan dwi-sel. Ia menyokong pengecasan pantas berwayar 100W SuperVOOC dan nirwayar 50W AirVOOC. Paling menarik adalah Oxygen OS 15 berasaskan Android 15 serba baharu.

OnePlus ingin membezakan diri dengan realme UI dan ColorOS, jadi satu aplikasi gendut tidak berguna tidak disertakan. Rekaan antaramuka juga lebih ringkas, dan keseluruhan sistem lebih efisien serta pantas.

Di Malaysia, setakat ini hanya OnePlus 13 disahkan akan tiba dengan variasi 16/512 GB pada harga RM4,399. Ketiga-tiga pilihan warna Midnight Ocean (Kulit, 210g), Arctic Dawn dan Black Eclipse (Kaca, 213g) ditawarkan di Malaysia. Untuk yang terawal pengecas 100W SuperVOOC akan diberikan secara percuma, bersama-sama dengan kerangka pelindung magnetik rasmi dan juga power bank magnetik 5000mAh.

Hadiah percuma ini bernilai RM547 dan anda patut rebut peluang ini kerana pakej pembelian OnePlus 13 tidak menyertakan sebarang kerangka pelindung dan pengecas.

Komen