Umum sedia maklum, sejak tiga tahun lepas jenama OnePlus telah bergabung di bawah jenama Oppo. Sejak itu kita dapat melihat, Oppo menjadi fokus utama sementara OnePlus menjadi pilihan alternatif berbanding sebelum ini menjadi dua entiti yang bersaing antara satu sama lain. Tahun 2025, kami dikhabarkan akan menjadi tahun baru untuk OnePlus kerana mereka akan mengolah semula strategi pemasaran.
Bermula dengan OnePlus 13, OnePlus cuba mendapatkan semula identiti mereka. Peranti ini sekali lagi akan memfokuskan kepada maklum balas komuniti, akan ada lebih banyak acara bersama komuniti dan memastikan Oxygen OS kekal membawakan keunikan tersendiri. Selepas lebih satu minggu menjadi peranti harian saya, saya berani katakan – OnePlus kembali bernafas dengan oksigen sendiri.
SPESIFIKASI DAN REKAAN
SPESIFIKASI | ONEPLUS 13 |
---|---|
SKRIN | 6.82” LTPO 4.1, OLED, 120Hz ProXDR, 3168 x 1440 QHD+, 4500 nits HDR10+, Dolby Vision, Ceramic Guard |
CPU | Snapdragon 8 Elite (3nm) 2x 4.32 GHz Oryon V2 Phoenix L 6x 3.53 GHz Oryon V2 Phoenix M |
GPU | Adreno 830 |
MEMORI | Belum boleh didedahkan |
STORAN | 512GB UFS 4.0 |
KAMERA BELAKANG | 50MP Sony LYT-808 (Sudut Lebar), f/1.6, OIS 50MP Sony LYT-600 (Telefoto), f/2.65, OIS, 3x Zum Optikal. 120x Zum Digital 50MP S5KJN5 (Sudut Ultra Lebar), f/2.05, EIS Hasselblad |
KAMERA HADAPAN | 32MP Sony IMX615, f/2.5 |
AUDIO | Stereo, Dolby Atmos OReality Audio |
BIOMETRI | Pengimbas cap jari bawah skrin Ultrasonik |
LAIN-LAIN | Oxygen OS 15, Android 15 4+5 Tahun WiFi 7 Bluetooth 5.4 (LDAC, LHDC5.0) |
PERLINDUNGAN | IP68 & IP69 |
BATERI | 6,000mAh (2x 3K mAh) 100W Berwayar 50W Nirwayar |
HARGA | Midnight Ocean (Kulit, 210g) Arctic Dawn/Black Eclipse (Kaca, 213g) RMB 4,899 (~RM2,999) 16/512 GB RMB 5,299 (~RM3,243) 16/512 GB RMB 5,999 (~RM3,673) 24/1000 GB |
OnePlus 13 akhirnya mengikut trend rekaan peranti mercu sekarang, iaitu rata di sekeliling dan skrin pula adalah rata tetapi mempunyai kemasan melengkung mikro. Skrin akan kelihatan seakan terapung pada bingkai aluminium peranti. Disebabkan perubahan rekaan ini, bonggol kamera gergasi Hasselblad tidak lagi melentur ke bingkai sisi peranti.
Rekaan rata ini telah pun diperlihatkan pada Nord 4 sebelum ini dan ia adalah rekaan yang sedap dipegang, selesa digunakan untuk jangka masa panjang dan nilai premium itu dapat dinikmati. Butang kuasa dan laras suara berada di sisi kiri, sementara suis lungsur notifikasi berada di sisi kanan. OnePlus 13 kini mempunyai tiga pilihan warna iaitu Midnight Ocean dengan panel belakang kulit dan versi lebih ringan. Kemudian adalah dua versi kaca, Arctic Dawn dan Black Eclipse yang sedikit lebih berat.
Tidak dinafikan, rekaan seakan Oppo Find X7 itu jelas kelihatan. OnePlus 13 juga secara tidak langsung adalah peranti keempat di Malaysia dengan cip Snapdragon 8 Elite selepas Realme GT7 Pro, iQOO 13 dan ASUS ROG Phone 9. Ia juga kekal menggunakan sistem tri-kamera 50MP Hasselblad, skrin LTPO 120Hz, sokongan paparan Dolby Vision dan bateri 6000mAh dwi-sel.
PENGALAMAN PENGGUNAAN
Fokus utama OnePlus kali ini adalah pada Oxygen OS 15 serba baharu mereka. Kenapa? Ini kerana sejak 2021 selepas Oppo menggabungkan OnePlus di bawah satu syarikat, Oxygen OS dan ColorOS sepatutnya digabungkan menjadi satu. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah kod-kod pembangunan yang menjadikan Oxygen OS itu unik diserap masuk ke dalam kod ColorOS dan Realme UI.
Ini secara tidak langsung menjadikan ColorOS dan Realme UI pada peranti Oppo dan Realme menjadi lebih terkenal dan terus orang melihat OnePlus sebagai jenama yang dipinggirkan. Kali ini di dalam Oxygen OS 15 berasaskan Android 15, OnePlus cuba sekali lagi untuk menjadi unik. Oxygen OS baharu adalah seakan versi stok atau vanila kepada ColorOS 15.
Rekaan ikon pada talam aplikasi berbeza, langsung tiada aplikasi gendut yang melampau seperti permua yang tidak dipercayai, aplikasi percutian dan aplikasi jenama. Di dalam Oxygen OS 15 hanya ada OnePlus Community dan OnePlus Store yang kedua-duanya boleh dibuang.
Oxygen OS 15 tidak dinafikan masih ada persamaan dengan Oppo, namun perbezaan sedikit yang dibawakan memberi sedikit kepuasan hati. Peralihan animasi juga kekal pantas seakan iOS yang sentiasa konsisten dan langsung tiada lengah masa. Setiap easter egg OnePlus masih dikekalkan, elemen antaramuka yang sangat lancar dan pantas juga masih dapat dirasai.
Skrin OnePlus 13 juga kini sudah berada di tahap peranti mercu premium. Sebenarnya sudah sejak OnePlus 11 lagi, tetapi dengan kini menggunakan skrin rata dengan kemasan lengkungan mikro di setiap sisi dan bucu – ia menjadikan OnePlus 13 lebih premium. Sokongan kadar segar semula adaptif 1Hz ke 120Hz melalui LTPO 4.1 dapat digunakan, sokongan paparan Dolby Vision, kecerahan 4500 nits, resolusi skrin tinggi yang adaptif dan kini turut menyokong ciri seakan Dynamic Island yang lebih berguna.
Perisian yang semakin mantap dengan skrin yang hebat, semestinya menyumbang kepada prestasi peranti yang menakjubkan. OnePlus 13 adalah peranti dengan cip Snapdragon 8 Elite ketiga di Malaysia. Kami tidak boleh mendedahkan unit kami ini menggunakan memori dan storan mana, tetapi dengan padanan memori LPDDR5X bersama storan UFS 4.1 yang turut mempunyai memori maya sehingga 12GB RAM – markah penanda aras peranti ini memang tidak mengecewakan.
Buat pertama kali juga, Snapdragon 8 Elite mempunyai pesaing sengit iaitu Dimensity 9400 yang digunakan pada vivo X200 dan Oppo Find X8. Dalam ujian AnTuTU Benchmark, Geekbench 6, Geekbench AI dan 3DMark Wild Life Extreme, OnePlus 13 memperlihatkan skor yang cukup menarik.
Walaupun OnePlus 13 dilabelkan sebagai peranti alternatif kepada Oppo Find X8 yang memfokuskan prestasi, skor yang dipaparkan tidak cukup tinggi berbanding peranti mercu lain. Seperti biasa, nombor hanya nombor dan pengalaman penggunaan di dunia sebenar adalah lebih penting. Dalam penggunaan saya, langsung tiada masalah pemanasan dan lengah masa berlaku. Nombor penanda aras rendah mungkin kerana perisian bukan versi akhir.
Tri-kamera 50MP Hasselblad yang OnePlus gunakan masih kekal memfokuskan kepada pengoptimasian perisian dan sains warna sahaja. Tiada inovasi canggih berbanding apa yang Zeiss dan vivo lakukan atau Leica dan Xiaomi. Kamera Hasselblad pada OnePlus ini memang cantik, berada di tahap mercu tetapi kualiti potret yang kurang kemas kerana bukan sensor 1-inci dan kualiti mod malam yang masih lebih kurang sama dengan generasi lepas mungkin sukar untuk meyakinkan peminat laman OnePlus.
Nanti dalam ulasan mendalam akan saya kongsi kualiti imej selepas peranti dikemaskini dengan sistem terkini. Dari segi rakaman video pun, boleh nampak yang OnePlus serius untuk menjadi pesaing sebenar dalam pasaran peranti mercu.
AI MASA HADAPAN ONEPLUS
Seperti Oppo, OnePlus juga menggunakan model bahasa raya AndesGPT untuk kebanyakan ciri AI generatif mereka. AndesGPT digunakan dalam banyak ciri tersendiri seperti pemadam ajaib dalam galeri, ciri membuang kesan pantulan, ciri menjana teks dan ciri merumuskan rakaman suara. OnePlus turut menggunakan Gemini pada OnePlus Shelf untuk carian AI dengan integrasi pada keseluruhan sistem.
OnePlus turut menyatakan mereka akan cuba menggunakan model bahasa raya tersendiri sepenuhnya untuk ciri-ciri AI generatif. Ini adalah sama seperti Samsung yang banyak menggunakan model Gemini, tetapi pada Galaxy S25 nanti mereka ingin menggunakan model tersendiri untuk pemprosesan dari dalam peranti.
Pada tahun 2025, OnePlus 13 turut akan menjadi titik permulaan baharu OnePlus yang ingin kembali cuba merampas semula hati peminat lama yang sudah lari ke jenama lain. Misalnya, peranti mula menggunakan panel skrin BOE untuk mengelak isu skrin dengan garis hijau. Kemudian, OnePlus Malaysia turut akan cuba lebih mendengar komen-komen pengguna Malaysia untuk terus menambahbaik produk di masa akan datang.
Bagi yang masih keliru dengan kedudukan OnePlus di bawah Oppo, OnePlus adalah sub-jenama Oppo sepertimana Poco di bawah Xiaomi. Jadi segala isu dan masalah, pengguna OnePlus boleh rujuk dengan pusat khidmat bantuan Oppo rasmi yang berada di seluruh Malaysia. Mana tahu, jika sokongan pengguna Malaysia terhadap OnePlus 13 set rasmi akan membuatkan OnePlus menubuhkan Red Club mereka di sini pula?
KESIMPULAN DAN PELANCARAN DI MALAYSIA
OnePlus 13 akan menjadi peranti keempat di Malaysia dengan cip Snapdragon 8 Elite. Ia akan menjadi alternatif kepada Oppo Find X8 Pro dan vivo X200 Pro yang lebih memfokuskan kepada keseimbangan prestasi. Dengan rekaan dan tubuh premium, spesifikasi setanding peranti mercu atasan, menjalankan Oxygen OS 15 serba baharu dan yakin masalah skrin hijau pada skrin tidak akan berlaku – OnePlus 13 mungkin adalah peranti mercu dengan nilai terbaik yang anda boleh dapatkan pada awal tahun 2025.
Secara rasminya, OnePlus 13 akan dilancarkan di peringkat global pada malam 7 Januari 2025. Di Malaysia ia dijangka akan mula dijual pada 8 Januari 2025. Khusus untuk itu, OnePlus Malaysia telah bekerjasama bersama DirectD untuk Blind Order yang melayakkan pembeli OnePlus 13 terawal membawa pulang;
- Baucar hotel 3H2M – Bernilai RM500
- Gaabor Vacuum GVCW-M15A – Bernilai RM109
- Trend Micro Mobile Securit – Bernilai RM79
- Dan pelbagai hadiah tambahan yang menjadikan nilai hadiah percuma sebanyak RM1,185.
Harga jualan di Malaysia dan variasi yang akan dijual masih belum diketahui. Apa yang kami faham, ketiga-tiga warna Midnight Ocean, Arctic Dawn dan Black Eclipse akan ditawarkan.
PRO dan KELEBIHAN
- Rekaan yang lebih segar dengan skrin hampir rata.
- Menggunakan cip Snapdragon 8 Elite yang berkuasa.
- Kamera Hasselblad yang masih boleh diharap.
- Prestasi permua dan penggunaan harian yang tidak mengecewakan.
- Oxygen OS 15 yang sedikit berbeza dengan ColorOS dan Realme UI.
- Ciri AI generatif yang lebih berguna.
- IP69 yang lebih tahan lasak.