Carian
Razer Melancarkan Sejumlah Aksesori RGB Baharu Dengan Harga Jualan Bermula RM379
January 8, 2025 Fahim Zahar

Sebut sahaja Razer, anda pasti akan mengenali sistem RGB Chroma mereka. Di acara CES 2025, Razer telah melancarkan sejumlah aksesori RGB baharu bagi menyerikan lagi ruangan gaming anda semua.

Monitor Stand Chroma

Cagak monitor atau monitor stand bukan sahaja digunakan untuk mengemaskan lagi meja, tetapi juga memastikan skrin berada di paras mata pengguna untuk penggunaan sihat terbaik. Razer Monitor Stand Chroma ini turut dilengkapi dengan 2x port USB-A, 2x USB-C, 1x HDMI dan menyokong berat sehingga 19.96 kilogram. Harga jualan di Malaysia adalah RM949.

Aether Standing Light Bars

Kalau baru-baru ini JBL melancarkan produk lampu LED tersendiri melalui siri PartyLight, permulaan tahun 2025 ini adalah giliran Razer pula. Dalam satu set terdapat dua tangkai lampu LED dengan 30 LED pada setiap satu. Ia menawarkan pencahayaan dari depan dan belakang, menyokong piawaian Matter, boleh digunakan bersama Google Home, Apple Home dan dijual pada harga sekitar RM450.

Handheld Dock Chroma

Razer turut melancarkan dermaga khas untuk konsol mudah alih. Ia menyokong bukan sahaja untuk pengecasan tetapi juga untuk sambungan ke televisyen atau monitor. Dermaga ini menyokong port sambungan 3x USB-A, 1x USB-C, 1x HDMI, 1x LAN, mempunyai kabel USB-C terbina untuk kuasa dan jalur RGB Chroma. Ia turut boleh digunakan bersama Nintendo Switch, Steam Deck, ASUS ROG Ally X dan banyak lagi. Di Malaysia ia dijual pada harga RM379.

Komen