Dengan pelancaran Lenovo Legion Go S pagi tadi, Valve mengesahkan mereka akan mula menyokong sistem operasi SteamOS pada konsol mudah alih pihak ketiga. Ini bukanlah pengumuman mengejutkan kerana ura-ura sokongan SteamOS pada lebih banyak konsol sudah didengari sejak beberapa bulan yang lalu.
Dengan SteamOS, pelbagai permainan video dalam koleksi Steam akan dapat disokong dengan lebih baik. Lebih menarik ialah Valve mengatakan pemilik juga boleh memasang pelancar pihak ketiga yang lain pada sistem operasi berasaskan Linux ini. Kelebihan SteamOS berbanding Windows ialah sokongan alat kawalan yang lebih baik kerana ia dibangunkan untuk konsol mudah alih. Selain itu berdasarkan pengalaman penggunaan bateri juga lebih baik jika dibandingkan dengan konsol menggunakan Windows 11.
Valve mengatakan ujian Beta akan dibuka seawal Mac depan sebelum Lenovo Legion Go S dilancarkan pada bulan Mei. Senarai konsol pihak ketiga yang boleh memuat turun SteamOS belum lagi diumumkan tetapi Valve mengatakan pengalaman yang diberikan adalah setanding pada sebuah Steam Deck.
Pengumuman Valve ini hadir tepat pada waktunya kerana Microsoft juga mengumumkan akan membawakan pengalaman Xbox pada konsol mudah alih Windows 11 di CES pagi tadi.