Lenovo Legion Go S telah dilancarkan pagi ini dengan ia adalah konsol mudah alih pihak ketiga pertama yang menggunakan sistem operasi SteamOS. Sebelum ini SteamOS hanya digunakan pada konsol Steam Deck. Legion Go S hadir dengan skrin 8” LCD WUXGA 120Hz yang menyokong sentuhan.
Ini dipadankan kepada cip pilihan cip AMD Ryzen Z2 Go atau AMD Ryzen Z1 Extreme, memori sehingga 32GB 7500Mhz LPDDR5X RAM, storan sehingga 1TB dan bateri 55.5Whr dengan 3 sel. Tidak seperti Legion Go, Legion Go S tidak mempunyai dua alat kawalan yang boleh ditanggalkan oleh pengguna. Ia masih lagi menyokong sambungan WiFi 6e, dua port USB 4, bicu audio dan slot microSD. Speaker pula adalah sepasang pemandu 2W.
Konsol ini turut akan ditawarkan dengan sistem operasi Windows 11 bagi mereka yang tidak ingin menggunakan SteamOS. Perbezaan hanyalah versi Windows 11 ditawarkan dalam warna putih dan versi SteamOS pula dalam warna Nebula Violet.
Lenovo Legion Go S versi Windows akan dilancarkan bulan ini pada harga $729.99 (~RM 3284). Kemudian pada bulan Mei model dengan konfigurasi berbeza akan ditawarkan pula pada harga $599.99 (~RM 2699). Lenovo Legion Go S versi SteamOS pula akan ditawarkan pada bulan Mei pada harga bermula $499.99 (~RM 2250).