Carian
Google Kini Menghasilkan Podsiar Rangkuman Berita Harian Menggunakan Bantuan AI
January 9, 2025 Effi Saharudin

Google NoteBookLM boleh menjana episod podsiar dengan dua hos maya hanya berbekalkan dokumen yang diberikan pengguna. Ia telahpun digunakan oleh Spotify Wrapped untuk memberikan rangkuman audio 2024 kepada pengguna di Amerika Syarikat. Kini Google memperkenalkan pula ciri baharu Daily Listen yang menghasilkan episod podsiar sepanjang 5 minit berdasarkan topik berita kegemaran dengan bantuan kecerdasan buatan (AI).

Daily Listen diakses menerusi aplikasi Google pada peranti Android dan iOS. Podsiar dihasilkan Daily Listen secara automatik dengan melihat sejarah topik-topik yang sering diikuti oleh pengguna.Sebuah widget “Made for you” akan dapat dilihat dengan Daily Listen diakses dengan menekannya.

Antaramuka pemain audio akan dipaparkan di skrin dengan transkrip podsiar juga dapat dibaca. Seperti mendengar podsiar biasa, terdapat butang kawalan menjeda/memulakan audio dan juga melangkaui kedepan/kebelakang.

Dengan rangkuman dalam bentuk podsiar ini, berita dapat disampaikan dalam masa yang singkat tanpa pengguna membacanya sendiri. Dari sudut negatif pula, laman web yang menjadi sumber berita tidak lagi menerima klik daripada pengguna dan tidak dapat menjana pendapatan. Jika anda menghasilkan podsiar harian, Daily Listen juga akan mengancam sumber pendapatan.

Ciri Daily Listen hanya boleh diakses pengguna Android dan iOS di Amerika Syarikat sahaja pada ketika ini.

Komen